Proton serah 18,442 buah kenderaan pada Julai 2026 – 14.9% lebih tinggi daripada Jun, jualan YTD naik 38.7%

Proton meneruskan momentum jualannya apabila mencatatkan penghantaran sebanyak 18,442 unit kenderaan pada Julai 2026, termasuk jualan eksport dan model di bawah jenama smart. Jumlah itu meningkat 14.9% berbanding Jun lalu.

Bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, jumlah keseluruhan jualan mencecah 118,788 unit, meningkat 38.7% berbanding tempoh sama tahun lalu. Berdasarkan anggaran Jumlah Keseluruhan Industri (TIV), Proton menganggarkan pegangan pasarannya bagi tempoh Januari hingga Julai berada pada 25.8%.

Menurut Proton, prestasi Julai merupakan bulan kedua terbaik setakat tahun ini selepas mencatatkan 19,833 unit pada Januari. Peningkatan jualan turut dipacu oleh prestasi eksport yang memberangsangkan apabila sebanyak 1,398 unit dihantar ke pasaran luar negara. Angka itu merupakan jumlah eksport bulanan tertinggi Proton sejak Mac 2013.

Dari segi model, Proton Saga kekal sebagai penyumbang jualan terbesar syarikat dengan 7,814 unit diserahkan kepada pelanggan sepanjang Julai. Ini menjadikan jumlah jualan terkumpul model tersebut bagi tahun ini meningkat kepada 52,189 unit, dan menurut Proton, ia berada di landasan untuk sekali lagi mencatatkan rekod jualan tahunan baru.

Proton serah 18,442 buah kenderaan pada Julai 2026 – 14.9% lebih tinggi daripada Jun, jualan YTD naik 38.7%

Sementara itu, Proton S70 mencatatkan 2,857 unit jualan pada Julai, sekali gus menjadikan jumlah jualan terkumpulnya kepada 15,689 unit. Proton turut menyifatkan sedan segmen C itu terus menunjukkan prestasi yang kukuh dalam pasaran.

Bagi SUV segmen B, Proton X50 terus mengekalkan kedudukannya apabila merekodkan 2,291 unit jualan bulan lalu, dengan jumlah terkumpul sebanyak 17,636 unit. Proton turut mendakwa X50 kekal sebagai SUV paling laris di Malaysia.

Dalam segmen SUV tujuh tempat duduk pula, Proton X90 mencatatkan 441 unit jualan pada Julai, sekaligus menjadikan bulan tersebut sebagai prestasi kedua terbaik model itu sepanjang 2026. Proton turut menyatakan bahawa X90 masih mendahului jualan dalam segmen SUV-D tujuh tempat duduk.

“Prestasi kami pada Julai menunjukkan rakyat Malaysia terus meletakkan keyakinan terhadap produk Proton kerana ia menawarkan gabungan teknologi, kualiti, keselamatan dan nilai yang tepat,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Rashid Musa.

Proton serah 18,442 buah kenderaan pada Julai 2026 – 14.9% lebih tinggi daripada Jun, jualan YTD naik 38.7%

“Selain memperkenalkan produk baru, kami kekal memberi tumpuan kepada penambahbaikan dalam setiap aspek pemilikan, daripada kualiti pembuatan dan usaha penyetempatan sehinggalah kepada jualan serta perkhidmatan selepas jualan. Pelaburan ini mengukuhkan daya saing jangka panjang Proton di samping menyokong pembangunan berterusan industri automotif Malaysia,” tambah beliau.

Bagi rangkaian kenderaan elektrik pula, Proton eMas mencatatkan prestasi jualan bulanan terbaik sejak diperkenalkan. Secara keseluruhan, model eMas 5, eMas 7 dan eMas 7 PHEV merekodkan 3,888 unit jualan pada Julai, menjadikan jumlah jualan terkumpul tahun ini meningkat kepada 21,808 unit.

Proton turut memaklumkan bahawa eMas 5 kini merupakan kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia dengan jualan terkumpul sebanyak 13,196 unit. Bagi kategori plug-in hybrid (PHEV), eMas 7 PHEV mendahului carta jualan dengan 4,946 unit, manakala eMas 7 versi elektrik sepenuhnya merekodkan jualan terkumpul sebanyak 3,666 unit.