Kastam Kelantan tumpaskan sindiket seludup 45 motosikal bernilai RM3.6 juta antara Jan hingga Jun lalu

Jabatan Kastam Kelantan telah merampas 45 buah motosikal pelbagai model dengan anggaran nilai RM3.6 juta termasuk cukai, yang disyaki diseludup dari Thailand antara Januari hingga Jun lalu. Daripada jumlah itu, 25 daripadanya adalah model Yamaha RXZ, laporan Bernama.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Mohd Hisham Mohd Nor berkata, semua motosikal itu dirampas di beberapa lokasi sekitar Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Semua motosikal dari Thailand itu diseludup menerusi pangkalan haram di Sungai Golok dan disimpan di pelbagai lokasi seperti bengkel, kawasan perumahan serta tempat letak motosikal sebelum diedarkan kepada pembeli.

“Motosikal yang diseludup termasuk motosikal berkuasa tinggi , kapchai dan Yamaha RXZ yang mendapat permintaan tinggi kerana dijual dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran. Ada juga yang dibawa masuk untuk dijual sebagai alat ganti.

“Nilai rampasan dianggarkan RM1.34 juta manakala duti dan cukai berjumlah RM2.28 juta menjadikan jumlah rampasan keseluruhan RM3.6 juta,” katanya ketika sidang media di Kompleks Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang, semalam.

Harian Metro pula melaporkan, Mohd Hisham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 ganda nilai barangan atau RM50,000 amaun mana lebih besar dan tidak lebih daripada dua kali ganda nilai barangan atau RM500,000 amaun mana lebih besar.

Katanya, sabit kesalahan boleh juga dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Tambah beliau, kemasukan motosikal seludup disebabkan permintaan berterusan kerana ramai membelinya hanya mendapatkan alat ganti. Selain itu, tawaran harga murah juga mempengaruhi permintaan motosikal terutama Yamaha RXZ sebelum dibaiki semula dan dijual pada harga berkali ganda tinggi.

“Biasanya promosi motosikal atau alat ganti dibuat menerusi media sosial oleh penjual. Kita percaya pembelinya ramai dalam kalangan peserta acara RXZ Members yang diadakan setiap tahun memandangkan jumlah rampasan yang diperoleh adalah konsisten,” katanya.