Zeekr 7X Black Nova dilancar di Malaysia – 200 unit sahaja, luaran serba hitam, dalaman dua-tona, RM235k

Zeekr Malaysia telah melancarkan Zeekr 7X Black Nova. Terhad cuma 200 unit, ia ditawarkan pada harga RM235,000, iaitu RM4,200 lebih mahal berbanding AWD Performance yang merupakan model asasnya (model terlaris Zeekr Malaysia ini telag dinaikkan harga pada Februari lalu).

Model ini tampil dengan luaran serba hitam, rim aloi hitam 20-inci serta kabin eksklusif dua tona hitam dan kelabu. Selebihnya, spesifikasinya adalah sama seperti Zeekr 7X varian tertinggi – berkeupayaan melonjakkan kuasa hingga 646 PS dan 710 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 3.8 saat, menggunakan bateri NMC 100 kWh yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 543 km (WLTP), serta menyokong pengecasan pantas DC 420 kW yang mampu mengecas bateri dari 10% hingga 80% dalam masa 16 minit.

Turut dikekalkan ialah angkup brek hadapan Akebono empat omboh berwarna jingga, angkup brek belakang berwarna jingga, sistem suspensi udara satu ruang (single-chamber) dengan kawalan redaman berterusan, pintu berkuasa elektrik, kemasan kulit Nappa, bidai suria berkuasa elektrik untuk tingkap sisi belakang, Zeekr Stargate Integrated Smart Light Curtain, serta logo Zeekr bercahaya yang terletak di tengah-tengah Stargate.

Rasanya makin banyak pula model edisi hitam diperkenalkan di Malaysia kebelakangan ini. Antaranya Proton X70 Sport Edition, Proton X50 Black Edition, Jetour Dashing Dark Warrior Limited Edition, Omoda C9 Matte Black Limited Edition dan GWM Tank 500 HEV Black Edition.