Tahun lalu sub-jenama Chery yang menawarkan kenderaan gaya hidup iaitu iCaur telahpun melancarkan model retro moden V23 hanya selepas tujuh bulan ia diumumkan sebagai jenama global. Dan tak lama lagi versi lebih besar V23 iaitu V27 juga bakal dilancarkan ke pasaran tempatan kerana ia telah dilihat sedang diuji di Malaysia.
Imej V27 yang dibalut dengan pelekat penyamaran ini telah dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook iaitu Yuk-Hang Sit di paultan.org Automotive/Car Discussion Facebook Group. Ia merupakan unit dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD) dan menggunakan set rim 19-inci yang sama seperti model RHD yang didedahkan di acara Auto China 2026 di Beijing April lalu.
Minggu lalu, iCaur V27 ini sebenarnya telah didedahkan di Indonesia ketika berlangsungnya acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2026, di mana tempahan bagi model tersebut turut dibuka secara rasmi. Walau bagaimanapun unit yang dibawa untuk dipamerkan di GIIAS berkenaan masih lagi dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD).
Jadi ada kemungkinan unit ujian yang ditemui di Malaysia ini adalah dari versi pacuan roda belakang kerana dipadankan dengan rim 19-inci dengan tayar 255/55R19 seperti di China, berbanding di Indonesia yang merupakan versi pacuan semua roda iWD yang datang dengan rim 21-inci dibaluti tayar 265/45R21.
Berapa besar V27 ini? Ia mencatatkan dimensi hampir sama panjang dengan Range Rover L460 iaitu 5,045 mm, lebar 1,976 mm, tinggi 1,894 mm dan jarak roda sejauh 2,900 mm. Berbanding V23 yang dipasarkan di Malaysia dalam versi EV penuh, V27 ini pula digerakkan dengan unit rangkaian kuasa Range Extender EV (REEV).
Ini bermakna ia masih lagi mempunyai enjin petrol yang ditugaskan hanya untuk mengecas bateri dan roda pula hanya dipacu oleh motor elektrik, manakala bateri yang dibekalkan juga masih boleh dicas semula sama seperti EV dan PHEV. Tak kira dalam versi RWD atau iWD, V27 REEV ini dibekalkan dengan enjin petrol H4J15 1.5 liter turbo yang didakwa mencapai keberkesanan haba mencecah 45.79%.
Manakala bateri yang dibekalkan pula berkapasiti 34.31 kWj yang boleh dicas semula dengan pengecas pantas DC sehingga 100 kW, membolehkan cas dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa 17-minit. Bagi versi RWD, ia menerima motor elektrik tunggal berkuasa 252 PS/300 Nm yang hanya memacu gandar belakang. Manakala bagi varian iWD, satu lagi motor diletakkan pada gandar hadapan bagi menghasilkan kuasa gandingan keseluruhan 455 PS/505 Nm.
iCaur V27 iWD pasaran Indonesia telah disahkan boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat, boleh bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 200 km dalam kitaran ujian CLTC, serta jarak gerak keseluruhan dengan satu tangki petrol penuh dan satu cas bateri penuh sejauh 1,200 km juga dalam kitaran ujian domestik China CLTC.
Model pasaran Indonesia berkenaan turut disahkan menampilkan perincian dan spesifikasi lain termasuk sembilan mod pemanduan yang merangkumi mod Eco, Comfort, Sport, Individual, All-Terrain, Slippery, Mud, Loose dan Uneven, kebolehan meredah air pada kedalaman 600 mm, jarak kelegaan tanah 224 mm, sudut pendekatan dan pelepasan masing-masing 24-darjah dan 23-darjah, 15-pembesar suara Pioneer, skrin sentuh 15.4-inci dan bumbung kaca dengan pancaran dua jalur LED.
Versi iWD di Indonesia ini juga menerima tema dalaman berwarna perang, manakala varian RWD diberikan tema dalaman berwarna hitam. Untuk keselamatan pula semua iCaur V27 diberikan enam-beg udara, kamera 540-darjah dan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) termasuk AEB dan ACC.
Kami difahamkan bahawa V27 memang sah akan masuk ke pasaran tidak lama lagi. Dan tidak seperti V23 yang sebelum ini diimport sepenuhnya (CBU) dari China terlebih dahulu dan kemudian dihasilkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Chery Corporate Malaysia di Shah Alam, V27 pula dijangka akan terus akan ditawarkan dalam versi CKD.
Ini kerana satu lagi kilang Chery yang lebih besar dengan keluasan 1,280 ekar di Lembah Beringin bakal beroperasi tahun ini, membolehkan V27 ini terus di pasang di fasiliti berkenaan. Chery dilapor akan melabur sebanyak RM3.6 bilion dalam masa dua tahun untuk pembangunan fasiliti tersebut.
GALERI:iCaur V27 REEV RWD versi RHD di Auto China 2026
GALERI:iCaur V27 REEV iWD versi LHD di GIIAS 2026









