Van panel EV TQ Wuling Porta kini mula dibuka untuk tempahan di Malaysia. Dua varian disediakan oleh pengedarnya, dinamakan dengan cucup sederhana — 300 km dan 400 km — yang sekali gus merujuk kepada jarak perjalanan CLTC kedua-duanya. Harga anggaran masing-masing untuk Semenanjung Malaysia ialah RM100k dan RM106k.
Jaminan yang diberikan adalah lima-tahun/120,000 km untuk kenderaan, mankala lima-tahun/200,000 km untuk motor elektrik, bateri EV serta sistem pengurusan bateri, dan jaminan enam-tahun/300,000 km untuk sel bateri EV-nya. Wallbox 6.6 kW pula ditawarkan secara pilihan dengan tambahan RM3,500.
Mula muncul pada tahun 2024 sebagai Wuling Yangguang, van ini dikenali sebagai Porta EV di Hong Kong, Thailand, dan kini, Malaysia. Ia mempunyai lima pintu termasuk dua pintu gelungsur dan pintu bukaan tengah di belakang (kedua-dua daun pintunya terbuka sehingga 270 darjah). Ruang kargonya pula boleh memuatkan barangan dengan kapasiti maksimum 6.5 meter padu (2,830 x 1,680 x 1,365 mm).
Ukuran dimensi van panel elektrik ini adalah 5,010 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,975 mm tinggi dengan jarak roda 3,050 mm. Ia boleh memuatkan dua penumpang hadapan dengan kerusi balutan fabrik larasan empat-hala secara manual. Selain itu ia turut dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD, kawalan kestabilan, brek cakera hadapan dan brek dram di belakang. Tugas suspensi dikendalikan oleh MacPherson strut di hadapan dan jenis leaf spring di belakang.
Motor elektriknya terletak di belakang dan menjana sebanyak 102 PS/180 Nm (dengan laju maksimum 115 km/j) dan dikuasakan oleh bateri LFP 41.9 kWh pada varian 300 km, sementara unit 56.2 kWh untuk varian 400 km. Untuk jarak perjalanan WLTP yang lebih realistik, masing-masing akan memberikan jarak sekitar 240 km dan 320 km.
Untuk pengecasan, varian 300 km boleh dicas DC dari SoC 30%-80% dalam 15 minit sementara pengecasan AC dari 20%-100% dalam 6.5 jam; varian 400 km pula masing-masing memerlukan 20 minit dan 8.5 jam dengan SoC yang sama.
Perbezaan lain antara dua varian berkenaan termasuklah jarak kelegaan tanah — varian 300 km dengan 134 mm tanpa muatan dan 128 mm dengan muatan; sementara untuk varian 400 km pula masing-masing adalah 132 mm dan 126 mm. Muatan maksimum beban adalah 1,165 kg untuk varian 300 km, manakala 1,105 kg untuk varian 400 km.
Kelengkapan lain adalah sama untuk kedua-dua varian, termasuk lampu hadapan LED, lampu belakang halogen, lampu kabus hadapan dan lampu kabus belakang, cermin sisi boleh laras secara manual, rim besi 15-inci dengan penutup, tayar 195/70 (dengan tayar ganti bersaiz penuh), skrin sentuh lapan-inci (dengan tiga bahasa termasuk Bahasa Melayu), Bluetooth dan USB.
Juga didatangkan secara standard ialah paparan berbilang maklumat TFT 3.5-inci di antara dua meter analog, brek tangan tradisional, operasi enjin dengan kunci, pemilih gear rotari, kamera undur dan tingkap kuasa dengan naik/turun automatik untuk pemandu. TQ Wuling Porta EV ditawarkan dengan warna asas putih. Van EV lain yang ditawarkan di pasaran Malaysia termasuklah BYD T3, CAM Jenhoo EV48, EA4 dan EC35, Foton iBlue, Higer Ace E1, Maxus eDeliver 3 dan eDeliver 7.









