ECRL sedia beroperasi menjelang Aidilfitri 2027 – Loke

Rakyat Malaysia mungkin boleh melakukan perjalanan ke Pantai Timur dengan perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sempena Hari Raya Aidilfitri pada 2027, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, laporan New Straits Times.

Merentasi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, setakat ini projek ECRL telah mencapai 95.08% kemajuan keseluruhan, kata Loke lagi.

“Dengan perkembangan yang menggalakkan ini, saya percaya penantian rakyat untuk menikmati perkhidmatan ECRL akan menjadi kenyataan seperti yang dijadualkan, dan penduduk Pantai Timur akan dapat pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan menaiki ECRL pada 2027,” kata Loke.

Menurut laporan itu, Stesen ECRL Gombak pula telah mencapai 98.96% kemajuan pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang September. Sementara itu, fasa pertama ECRL dari Gombak ke Port Klang dijangka siap pada Disember 2027, sebagai persediaan untuk operasi penuh yang dijadualkan bermula pada Januari 2028.

Hari ini, Loke turut melancarkan Comprehensive Inspection Train (CIT), Pengenalan Konsep Reka Bentuk Stesen-Stesen Utama ECRL serta Permulaan Ujian Integrasi Sistem (SIT) dan Fault-Free Run(FFR) Projek ECRL di Stesen Terminal Bersepadu Gombak. CIT membabitkan unit tren elektrik enam gerabak yang akan digunakan untuk memeriksa dan menyelenggara rangkaian ECRL sepanjang 665 km, termasuk geometri landasan, sistem isyarat serta sistem talian katenari atas. CIT ini dijangka tiba di Malaysia pada 16 Ogos untuk memulakan pemeriksaan menyeluruh di sepanjang jajaran ECRL.

Sementara itu, bekalan elektrik telah diaktifkan di kesemua 10 stesen di sepanjang jajaran Kota Bharu-Gombak, sekali gus membolehkan projek beralih kepada fasa integrasi dan pengujian sistem, kata Menteri Pengangkutan.

“Dengan pencapaian ini, tumpuan projek ECRL kini beralih kepada pelaksanaan pelbagai kerja integrasi sistem rel, selain program pengujian dan pentauliahan bagi memastikan setiap komponen ECRL beroperasi dengan selamat dan cekap serta memenuhi piawaian antarabangsa sebelum perkhidmatan dibuka kepada orang ramai,” katanya.

ECRL sedia beroperasi menjelang Aidilfitri 2027 – Loke

Tambahnya, ujian integrasi sistem akan bermula bulan ini, diikuti dengan ujian perjalanan tanpa gangguan (FFR) pada September bagi menilai prestasi tren penumpang dan lokomotif kargo sebelum operasi komersial dimulakan.

ECRL merupakan projek infrastruktur bernilai RM50.27 bilion yang dilaksanakan Kerajaan Malaysia dan turut menjadi sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), hasil hubungan diplomatik yang erat serta kerjasama ekonomi kukuh antara Malaysia dan China.

Melibatkan laluan sepanjang 665 km yang menghubungkan Kota Bharu dan Pelabuhan Klang ini serta mempunyai 59 terowong, perkhidmatan ECRL dijangka akan memendekkan masa perjalanan kepada empat jam berbanding tujuh jam yang diperlukan untuk jalan raya biasa, atau lebih 12 jam pada musim perayaan.