Sambungan terus (linkage) bernilai RM60j akan dibina antara RTS Link Bukit Chagar dengan KTMB Komuter

Kerajaan memutuskan untuk membina satu sambungan terus (linkage) antara RTS Link Bukit Chagar dan perkhidmatan KTMB Komuter yang membabitkan kos RM60 juta bagi memperkukuh integrasi pengangkutan awam serta memudahkan pergerakan penumpang ke sistem transit itu, laporan Bernama.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, projek tambahan itu mendapat kelulusan daripada Kementerian Ekonomi dan akan dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat.

“Sambungan berkenaan akan membolehkan penumpang yang menggunakan perkhidmatan KTMB Komuter ke Stesen RTS Bukit Chagar menggunakan jejambat tanpa perlu membuat pusingan yang jauh melalui laluan sedia ada di JB Sentral. Apabila siap nanti, penumpang yang menggunakan KTM Komuter dan berhenti di stesen KTMB Komuter boleh terus sambung perjalanan ke Stesen RTS Bukit Chagar.

Sambungan terus (linkage) bernilai RM60j akan dibina antara RTS Link Bukit Chagar dengan KTMB Komuter

“Ini akan memudahkan ramai penumpang. Kita nak menggalakkan supaya pengguna RTS Link menggunakan pengangkutan awam untuk ke Bukit Chagar ataupun keluar daripada Bukit Chagar,” katanya kepada pemberita selepas lawatan media ke projek RTS Link di Bukit Chagar pagi tadi.

RTS Link dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026 dan mula beroperasi pada Januari 2027. Ia adalah perkhidmatan rel rentas sempadan sepanjang empat kilometer, yang mampu memuatkan kapasiti 10,000 penumpang sejam untuk setiap hala pada waktu puncak, dengan masa perjalanan sekitar lima minit antara dua stesen, satu di Bukit Chagar di Johor dan satu lagi di Woodlands di Singapura. Ia juga disasarkan dapat mengurangkan kesesakan di Tambak Johor serta mempercepat perjalanan harian rakyat antara dua negara.