Bermaz Xpeng telah mengumumkan kempen panggilan semula untuk model Xpeng X9 kerana potensi masalah di bahagian gegelung udara depan MPV berkenaan. Menurut syarikat itu, ini adalah susulan daripada panggulan semula serupa yang dibuat di China untuk unit X9 yang dikeluarkan sebelum 11 Ogos 2025.
Satu laporan Reuters pada Julai tahun ini memberikan lebih banyak maklumat mengenai panggilan semula Xpeng ini, yang melibatkan 33,473 unit model X9 yang dibuat antara 8 Ogos 2023 dan 11 Ogos 2025. Unit yang terjejas didakwa mempunyai gegelung udara hadapan dengan kekedapan udara yang dikurangkan, yang boleh menyebabkan kebocoran udara secara beransur-ansur melalui penggunaan berpanjangan dalam keadaan panas dan lembap. Ini boleh mencetuskan amaran kerosakan atau, dalam keadaan ekstrem, menjejaskan pengendalian kenderaan, jelas Xpeng dalam satu kenyataan.
Di Malaysia, kenderaan yang disahkan terjejas akan diberikan unit gantian bagi pemasangan suspensi udara hadapan yang terkesan sepenuhnya. Ini akan dilakukan tanpa sebarang caj kepada pemilik, dan sistem suspensi udara hadapan yang diganti akan dilanjutkan tempoh perlindungan jaminannya sehingga lapan-tahun atau 160,000 km (yang mana dahulu), bermula dari tarikh pendaftaran kenderaan — ini boleh dipindahkan kepada pemilik seterusnya.
Bermaz Xpeng memaklumkan dalam kenyataannya bahawa syarikat itu sedang bekerjasama rapat dengan rakan kongsi serantau dan pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan bekalan alat ganti, prosedur teknikal dan kapasiti servis mampu menampung panggilan semula ini. Syarikat itu juga menyatakan bahawa kenderaan daripada kelompok pengeluaran lain model yang sama bagaimanapun tidak terjejas – ini bermakna model facelift-nya tidak terkesan. Bagaimanapun, tidak dinyatakan berapa banyak kenderaan X9 lama yang terlibat dalam panggulan semula ini.
Pelanggan boleh menghubungi talian hotline khidmat pelanggan Xpeng Malaysia di +603 7627 3883 untuk pertanyaan lanjut. Pelanggan dengan unit yang terkesan dengan panggilan semula ini perlu boleh menjadualkan temu janji dengan pusat servis sah melalui aplikasi mudah alih Xpeng.









Xpeng X9
dari RM281,073
Xpeng G6
dari RM159,948