Sempena dengan pelancaran Mercedes-Benz Fashion Week Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung di TRX Exchange, Kuala Lumpur, Mercedes-Benz Malaysia turut memperkenalkan model super mewah, Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Serie. Untuk pasaran Malaysia, harga atas jalannya bermula RM2,250,000 tanpa insurans.
Roadster dua-tempat duduk berprestasi tinggi ini menggabungkan gaya sporty SL dengan kemewahan ultra-premium Maybach. Ia merupakan model yang sangat eksklusif dan lebih menekankan kemewahan, gaya serta pengalaman pemanduan yang jitu. Dari segi mekanikal, Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series berasaskan SL tetapi ditala khusus oleh Maybach untuk memberikan keseimbangan antara prestasi dan keselesaan.
Ia diberikan enjin 4.0 liter V8 biturbo yang mampu menghamburkan kuasa hingga 585 hp (430 kW) dan tork maksima 800 Nm, dipadankan bersama transmisi AMG Speedshift 9G-Tronic sembilan-kelajuan dengan sistem pacuan semua-roda AMG Performance 4MATIC+. Gabungan mekanikal yang padu ini membolehkan SL 680 Monogram Serie ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.1 saat dan mampu mencapai kelajuan maksima hingga 260 km/j.
Apa yang menariknya tentang SL 680 ini, ia bukan sekadar SL 63 dengan logo Maybach. Sebaliknya sistem mekanikal dan talaan casisnya telah diubah untuk memberikan karakter yang lebih santai dan selesa. Maybach turut mengubah talaan suspensi, stereng dan sistem kawalan untuk menghasilkan pengalaman pemanduan yang lebih lembut dan pengendalian yang cukup sporty.
Ia digandingkan dengan sistem suspensi AMG Active Ride Control dengan penstabilan olengan, brek berprestasi tinggi AMG, dengan cakera komposit seramik serta AMG electronic rear-axle limited-slip differential.
Dari sudut dimensi, SL 680 berukuran 4,705 mm panjang, 1,915 mm lebar, 1,359 mm tinggi dengan jarak roda pula 2,700 mm.
Untuk reka bentuknya, ia ditampilkan gaya yang lebih elegan, eksklusif dan mewah berbanding SL biasa, tetapi masih mengekalkan bentuk sporty sebuah roadster. Wajahnya diberikan gril radiator spesifik Maybach dengan jalur krom menegak dan logo Maybach. Ia diserlahkan dengan lampu utama LED yang tajam, bampar hadapan yang lebih kemas dengan penggunaan elemen krom yang menyerlahkan identiti Maybach dan bonet dengan warna kontra.
Imej luarannya lebih seksi pada bahagian sisi dengan siluet roadster yang rendah dan panjang. Memantapkan lagi gayanya, ia diberikan pemegang pintu rata dan rim tempaan Maybach 21-inci. Untuk belakangnya pula, rekaannya lebih rendah dan lebar, menampilkan lampu LED berbentuk nipis, paip ekzos berkembar dengan kemasan krom pada diffuser dan soft top.
Istimewanya, ia juga diberikan corak monogram Maybach double-M (MM) yang menjadi elemen utama pada bahagian badan tertentu yang merupakan identiti utama bagi Monogram Series. Selain itu, model ini juga ditawarkan pilihan cat dua tona, yang memang sinonim dengan model Maybach. Kombinasi warna badan sama ada pilihan merah metalik atau putih metalik dengan bahagian hitam pada bonet dan beberapa elemen luaran memberikan rupa yang lebih eksklusif.
Bagi bahagian kabinnya, bentangan kemewahan, eksklusiviti dan sporty yang dihamparkan pada segenap ruang. Eksklusif untuk model ini, corak monogram Maybach “MM” diadaptasikan pada beberapa bahagian kemasan kabin, malah kemasan logam dan krom juga digunakan untuk memberikan sentuhan premium.
Pada bahagian papan pemukanya, diberikan skrin infotainmen tengah 11.9-inci yang menggunakan sistem MBUX dan boleh dilaraskan sudutnya untuk mengurangkan pantulan cahaya ketika bumbung dibuka, dan juga paparan instrumen digital 12.3-inci yang memberikan maklumat pemanduan secara digital. Ia juga diberikan roda stereng AMG Performance yang dibaluti material premium dan menampilkan kawalan pelbagai fungsi termasuk sistem bantuan, navigasi dan kawalan kelajuan.
Ciri kelengkapan lain yang turut diberikan termasuklah tempat duduk kulit Nappa dengan kemasan dan jahitan khas Maybach, pencahayaan ambien yang membantu mewujudkan suasana kabin yang lebih mewah terutama pada waktu malam, sistem audio Burmester® 3D Surround Sound, penyaman udara automatik dengan kawalan suhu berasingan untuk pemandu dan penumpang, sistem Airscarf yang meningkatkan keselesaan ketika memandu dengan bumbung terbuka dan bumbung fabrik elektrik yang boleh dibuka atau ditutup dengan kawalan elektrik.
Bagi sistem bantuan pemanduan dan ciri keselamatan, Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series dilengkapi dengan ciri termasuk Bantuan Brek Aktif, Bantuan Jarak Aktif DISTRONIC, Bantuan Stereng Aktif, Bantuan Kekal Lorong Aktif, Bantuan Titik Buta, Bantuan Parkir Aktif, kamera 360, Bantuan Isyarat Trafik, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), Bantuan Lampu Tinggi Adaptif, serta pelbagai sensor, kamera dan sistem bantuan pemanduan bersepadu untuk meningkatkan keselamatan ketika memandu.










Mercedes-Benz Maybach GLS
dari RM1,918,888
Mercedes-Benz CLA EQ
dari RM274,888
Mercedes-Benz AMG CLE
dari RM722,888
Mercedes-Benz EQV
dari RM450,350
Mercedes-Benz G-Class
dari RM958,888
Mercedes-Benz AMG GT
dari RM1,882,888
Mercedes-Benz Maybach EQS SUV
dari RM1,088,888
Mercedes-Benz AMG G-Class
dari RM1,948,888
Mercedes-Benz AMG GLC Coupe
dari RM498,888