Leapmotor Johor Bahru kini dibuka – Pusat 3S wilayah Selatan diuruskan oleh Cycle & Carriage di Kempas

Pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) Leapmotor Johor Bahru kini secara rasmi telahpun dibuka. Fasilti yang terletak di Kempas berkenaan diuruskan oleh Cycle & Carriage, dan ia merupakan fasiliti jenama Leapmotor yang keenam di Malaysia milik syarikat tersebut.

Kemudahan ini dibina dengan keluasan 10,000 kaki persegi di atas tanah seluas 3,783 meter persegi, dan ia menampilkan bilik pameran serta bengkel servis selepas jualan di aras bawah, manakala pejabat operasi pula terletak di tingkat mezzanine.

Untuk bilik pameran, ia boleh menempatkan sehingga empat kenderaan untuk dipamerkan, dan turut dilengkapi dengan tempat khas untuk pelanggan berunding serta bilik tertutup khas untuk penyerahan kenderaan kepada pelanggan. Manakala bagi operasi servis selepas jualan pula, ia mempunyai empat ruang servis dan pembaikan, ruang cuci kereta serta satu fasiliti khas untuk kerja-kerja detailing kenderaan.

“Pengembangan ke Kempas, Johor Bahru ini menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam membawa pengalaman Leapmotor yang luar biasa ke selatan, ke salah satu wilayah paling dinamik dan pesat berkembang di negara ini. Kami yakin bahawa rakyat Johor akan menikmati perjalanan pemilikan yang lancar yang menggabungkan inovasi Leapmotor dengan kepakaran Cycle & Carriage yang mengutamakan pelanggan,” kata pengarah urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo.

CEO Cycle & Carriage Malaysia, Adrian Short pula berkata: “Kami teruja dengan pertumbuhan berterusan jenama ini terutamanya di wilayah Selatan dan berharap dapat menawarkan perkhidmatan terbaik kepada lebih ramai pelanggan melalui perkembangan menarik dan pencapaian penting dalam kerjasama kami dengan Stellantis Malaysia ini.”

Untuk bilik pameran, ia buka dari pukul 8 Pagi hingga 6 Petang untuk Isnin hingga Sabtu, dan 11 Pagi hingga 5 Petang pada hari Ahad dan cuti kelepasan am. Manakala bagi servis selepas jualan pula, ia dibuka dari pukul 8 Pagi hingga 5 Petang untuk hari Isnin hingga Jumaat, 8 Pagi hingga 12 Tengah Hari pada hari Sabtu, dan tutup pada hari Ahad dan cuti kelepasan am.

Cycle & Carriage juga telah membuka Pusat 3S lengkap pertama Leapmotor di Glenmarie pada bulan April tahun ini, dan juga bilik pameran di Plaza 33 di Seksyen 3 Petaling Jaya. Jun lalu, Cycle & Carriage telah memulakan operasi pengedar untuk Leapmotor di Malaysia, mengmbangkan kerjasama yang terjalin sejak tahun 2024 dan lebih banyak cawangan akan dibuka selepas ini.