Perlumbaan ketahanan Merdeka Race Malaysia Speed Festival (MSF) kembali lagi tahun, bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang Petronas bermula 29 hingga 30 Ogos ini sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-69. Perlumbaan berkenaan bakal disertai sekitar 300 orang pelumba yang akan mengemudi lebih dari 200 jentera lumba dua- dan empat-tayar.
Ini merupakan penganjuran kali kesembilan Merdeka Race yang dibuat oleh MSF, dan sama seperti tahun lalu, perlumbaan utama untuk kereta tahun ini iaitu MSF SuperTurismo Merdeka Endurance turut diadakan sebanyak 111-lap mengelilingi litar sepanjang 5.534 km tersebut bagi melengkapkan jarak 615 km. Manakala bagi kategori motosikal, perlumbaan ketahanan ini berlangsung sebanyak 33 lap atau sekitar 183 km.
Bagi MSF SuperTurismo Merdeka 111 Endurance, setiap jentera yang bertanding perlu menampilkan sekurang-kurangnya dua orang pelumba, dan perlu melengkapkan dua pit stop mandatori dengan masa minimum tiga minit setiap sesi. Jadi strategi pit stop dan jumlah pelumba untuk satu kereta juga mungkin menjadi faktor menang atau kalah dalam perlumbaan ini.
Sebanyak tujuh kategori dibuka dan akan dilepaskan sekali untuk MSF SuperTurismo Merdeka 111 Endurance ini, ia termasuk Super Series Limited, EXN GT86 x BRZ Racing Cup, Super Compatto, Standard Production, Standard Production MAX, Super Production, dan K-Series Battle.
Perlumbaan ini akan bermula pada pukul 5.30 petang pada hari Ahad, 30 Ogos, dan ia dijangka berakhir sebelum tengah malam sambutan Hari Kemerdekaan ke-69.
Selain dari perlumbaan utama ini, banyak lagi perlumbaan lain yang akan bermula pada hari sebelumnya iaitu 29 Ogos. Tiga perlumbaan Sprint yang akan berlangsung bermula pukul 9.30 malam hingga 11.35 malam, iaitu dua perlumbaan kelas Super Unlimited yang berlangsung sebanyak lima-lap setiap sesi dan juga perlumbaan ‘one-make’ Skilldrvn yang dilangsungkan sebanyak lapan-lap.
Manakala pagi Ahad berlangsung pula perlumbaan motosikal bermula dengan aksi motorsikal Harley Davidson iaitu The American V-Twin Cup by Prodigy Racecraft yang akan berlumba sebanyak tujuh-lap, kemudian disambung dengan MotoMSF Superbikes Merdeka 33 Endurance iaitu perlumbaan Superbike sebanyak 33-lap yang akan dilangsungkan di litar Selatan SIC bermula 11.30 pagi hingga 2 petang.
Ini merupakan tahun kedua MSF Superbikes Merdeka 33 Endurance ini dilangsungkan dan ia mendapat sambutan yang menggalakan walapun pelumba perlu berhadapan dengan cuaca panas dengan memakai sut lumba kulit lengkap. Dalam perlumbaan ini, setiap motosikal perlu menampilkan dua orang pelumba dan pit stop mandatori perlu dibuat setiap lapan-lap.
Perlumbaan kereta bersambung pada sebelah petang dengan perlumbaan kedua Skilldrvn One make Race Series yang akan bermula pada pukul 2.15 petang di mana pelumba perlu menghabiskan perlumbaan sebanyak 10-lap, diikuti perlumbaan Merdeka 75 Cup pada pukul 3 petang. Perlumbaan ini akan berlangsung selama 75 minit tanpa henti, menampilkan empat kelas dilepaskan sekali iaitu Saga Cup, MyVi Cup, CamPro Cup dan Tuner Production.
“Acara Merdeka Race ini telah berkembang pesat selama ia diadakan beberapa tahun kebelakangan ini, dan dengan dapat melangsungkan perlumbaan 111 lap sebagai acara tahunan menjadi satu pencapaian penting bagi MSF,” kata Prinsipal MSF, Adian Yein Khalid.
“Apa yang menjadikan perlumbaan ini istimewa ialah ia menyatukan pelumba veteran dan muka baharu, pasukan yang mantap dan beberapa pesaing berpengalaman di rantau ini di grid yang sama. Ia merupakan ujian sebenar kelajuan, konsistensi, strategi dan kerja berpasukan, dan kami berbangga melihat sejauh mana acara ini telah berkembang serta bagaimana ia telah menyumbang kepada sukan permotoran di peringkat tempatan dan antarabangsa.”
Pemenang MSF SuperTurismo Merdeka 111 Endurance tahun lalu iaitu pemandu veteran Faidzil Alang yang berpasangan dengan Mohamed Hafez mengemudi Toyota GR Yaris akan mempertahankan gelaran tersebut tahun ini, dan cabaran yang diterima bukan hanya dari pelumba-pelumba tempatan, malah pelumba dari Thailand, Indonesia dan Hong Kong turut akan cuba memberikan saingan sengit.
Kepada peminat sukan permotoran yang mahu menyambut Hari Merdeka di SIC dengan menonton perlumbaan ini, anda boleh datang dan membeli pas Paddock yang dijual di pintu masuk dengan harga RM45, manakala kanak-kanak bawah 12-tahun boleh masuk secara percuma.
Dengan pas berkenaan anda bukan sahaja boleh menonton perlumbaan, malah boleh berjalan di Paddock untuk melihat pasukan-pasukan lumba bekerja di belakang tabir, dan menikmati makanan dan minuman serta membeli-belah di trak-trak makanan dan gerai-gerai jualan yang dibuka. Penganjur juga ada menjual tiket berasingan untuk dua hari di mana tiket untuk hari Sabtu dijual pada harga RM20, dan hari Ahad berharga RM30.










