Pentadbiran Negara China untuk Peraturan Pasaran (SAMR) minggu lalu (21 Ogos 2026) mengumumkan panggilan semula automotif terbesar dalam sejarah negara itu berhubung masalah pemegang pintu tersembunyi yang mungkin sukar dibuka dalam keadaan kecemasan.
Menurut laporan oleh Channel News Asia dan BBC, 4.3 juta kenderaan daripada sembilan jenama terlibat dalam panggilan semula ini, dengan penyelesaiannya ialah pemasangan label amaran penglihatan tinggi serta kemas kini perisian untuk menurunkan tingkap secara automatik selepas berlakunya kemalangan.
“Dalam situasi ekstrem seperti perlanggaran teruk yang menyebabkan sistem voltan rendah kenderaan gagal, (pemegang) pintu mungkin menjejaskan keupayaan penumpang untuk membuka pintu kereta dengan cepat untuk menyelamatkan diri atau oleh anggota penyelamat dari luar kenderaan,” jelas satu kenyataan yang dikeluarkan oleh SAMR.
Model Tesla buatan China menyumbang sebahagian besar daripada jumlah keseluruhan itu, dengan 2.98 juta kereta terlibat dalam panggilan semula tersebut. Jenama lain yang turut terjejas termasuk Xpeng, Xiaomi, Geely (untuk model Zeekr dan Lynk & Co), Leapmotor, Chery, BAIC, Dongfeng dan FAW Group (untuk model Hongqi).
Pemegang pintu tersembunyi, yang kebanyakannya memerlukan arus elektrik untuk keluar dari permukaan rata badan kenderaan, telah diteliti semula selepas dua kemalangan maut di China yang melibatkan kenderaan elektrik (EV) Xiaomi. Dalam kedua-dua kes, kegagalan kuasa disyaki telah menghalang pintu daripada dibuka dalam situasi kecemasan.
Ini telah menyebabkan Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT) mengeluarkan peraturan baru tahun ini yang mewajibkan kereta yang dijual di negara tersebut mempunyai pelepasan mekanikal bagi pintu di bahagian dalam dan luar kenderaan. Peraturan tersebut berkuat kuasa pada 1 Januari 2027, sementara kenderaan yang telah diluluskan untuk dijual di China serta yang akan dilancarkan mempunyai masa sehingga Januari 2029 untuk mematuhi peraturan tersebut.









