Selepas beberapa imej dan maklumat awal bocor sebelum ini, Jetour akhirnya memperkenalkan T2 versi facelift semasa Pameran Motor Chengdu yang sedang berlangsung sekarang. Tempahan bagi SUV itu kini dibuka, dengan model kemas kini ini sekali lagi ditawarkan dalam pilihan enjin petrol serta plug-in hybrid Intelligent Dual Mode (i-DM), yang dikenali sebagai Chery Dual Mode atau C-DM di China.
Jetour T2 dikenali sebagai Traveller di pasaran China, manakala versi terbaru ini akan menggunakan nama Traveller 7. Walaupun terdapat angka 7 pada namanya, model ini masih merupakan versi lima tempat duduk biasa dan bukannya model tujuh tempat duduk yang lebih panjang, iaitu Traveller Plus. Angka tersebut dipercayai digunakan untuk membezakannya daripada model baru lebih premium, Traveller 8, yang turut membuat kemunculan di Chengdu.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, perubahan paling ketara pada T2 facelift terletak pada bahagian hadapan yang kini kelihatan lebih kemas. Lampu utama berbentuk bulat menggantikan unit empat segi pada model lama, menjadikan penampilannya semakin menyerupai Land Rover Defender. Kedua-dua lampu ini disambungkan oleh jalur cahaya yang merentasi gril, manakala tulisan Jetour kini diletakkan lebih tinggi pada hud.
Bampar hadapan juga menerima perubahan besar apabila bentuk sebelum ini yang menonjol jauh keluar dan menggunakan plastik hitam kini dibuat lebih sekata dengan badan serta dicat mengikut warna badan. Ia turut menampilkan salur udara yang lebih besar, sementara lampu kecil gaya lasak dan cangkuk tunda palsu pada model lama telah dibuang.
Bahagian belakang masih mengekalkan ciri paling dikenali T2, iaitu lampu belakang menegak dengan empat titik, tetapi kini hadir bersama spoiler baru, kemasan tiang-D yang lebih kemas tanpa corak garisan serta bampar yang direka semula. Kemasan pemegang pada hud, lengkuk roda dan bampar belakang juga kini menggunakan warna badan. Bampar belakang pula hadir dengan reka bentuk lebih ringkas serta lampu tambahan baru.
Tema lebih kemas itu diteruskan ke ruang kabin. Walaupun seni bina asas papan pemuka masih dikekalkan, hampir setiap bahagian sebenarnya menerima sentuhan baru dengan kebanyakan elemen berimej garang pada T2 sedia ada diubah. Papan pemuka kini lebih bersih, dengan corong pendingin hawa menegak berkembar yang lebih bersepadu pada kedua-dua hujung, selain kemasan krom yang menambahkan sentuhan premium.
Konsol tengah juga diberikan reka bentuk lebih teratur, namun T2 masih mengekalkan banyak suis fizikal termasuk kawalan pendingin hawa dan tombol pemilih untuk tujuh mod pemanduan. Turut dikekalkan ialah butang X-Mode bagi sistem pacuan semua roda XWD serta dua ruang meletak telefon pintar dengan pengecas tanpa wayar Qi.
Antara kelengkapan baru yang ditawarkan ialah tempat duduk Comfort dengan pelarasan kuasa 10-hala, binaan 12 lapisan dan fungsi urutan lapan titik. Sistem audio 23 pembesar suara serta lampu suasana dengan 256 pilihan warna turut ditambah.
Kemasan upholsteri berjahit corak berlian memberikan suasana lebih mewah, manakala pemegang tangan besar yang banyak masih dikekalkan untuk mengekalkan imej lasak. Melengkapkan perubahan di bahagian dalam adalah stereng baru daripada model G700.
Untuk pasaran China, T2 facelift hanya akan ditawarkan dengan enjin petrol empat silinder turbo 2.0 liter pada peringkat awal, sekaligus menggugurkan pilihan asas 1.5 liter. Kuasa sebenar belum didedahkan, namun ia dijangka masih 254 PS dan 390 Nm seperti model pasaran China sebelum ini. Lebih menarik, transmisi klac berkembar tujuh kelajuan kini digantikan dengan unit automatik lapan kelajuan yang sebelum ini hanya tersedia pada varian paling tinggi.
Versi plug-in hybrid pula menerima peningkatan besar – masih menggunakan enjin 1.5 liter turbo empat silinder, tetapi kini dipadankan dengan dua motor elektrik yang lebih berkuasa. Gabungan sistem tersebut menghasilkan jumlah kuasa 782 PS dan 835 Nm.
Jetour mendakwa jarak pemanduan menggunakan kuasa elektrik meningkat kepada 245 km berdasarkan kitaran CLTC, berbanding 212 km sebelum ini, manakala jarak keseluruhan dengan satu tangki bahan api dan cas penuh mencecah sehingga 1,400 km.
Dari segi keselamatan dan bantuan pemanduan, semua varian T2 kini dilengkapi fungsi pemanduan autonomous bandar dan lebuh raya. Walaubagaimanapun, sistem yang digunakan berbeza mengikut rangkaian kuasa. Model petrol menggunakan teknologi Falcon 500 milik Chery, manakala varian PHEV mendapat sistem Qiankun ADS5 daripada Huawei untuk fungsi bantuan pemanduan yang lebih canggih.
Kesemua penambahbaikan ini hadir ketika Jetour T2 mencatat jualan global terkumpul melebihi 550,000 unit. Model tersebut turut menyumbang kepada jumlah jualan keseluruhan Jetour di seluruh dunia yang kini mencecah 2.45 juta unit. Buat masa ini, maklumat mengenai harga dan pasaran eksport T2 facelift masih belum diumumkan, termasuk sama ada versi baru ini akan ditawarkan di Malaysia.













Jetour T2
dari RM156,800
Jetour T1
dari RM129,800
Jetour VT9
dari RM119,350
Jetour Dashing
dari RM106,800