Selepas muncul kali pertama di Amerika Syarikat Mac lalu, Nissan kini melancarkan Fairlady Z versi facelift bersama varian prestasi tinggi Nismo di Jepun. Model yang hanya dikenali sebagai Z di pasaran Amerika itu turut dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) pada Ogos lalu, dan kini menerima beberapa kemas kini untuk pasaran domestik Nissan.
Bagi perubahan luaran, Nissan mengambil inspirasi daripada beberapa Fairlady Z generasi terdahulu untuk menghasilkan wajah baru ini, khususnya selepas reka bentuk asal yang diperkenalkan lebih empat tahun lalu menerima reaksi berbelah bahagi. Perubahan paling ketara ialah bampar hadapan yang kini tidak lagi menggunakan gril segi empat besar dengan sisipan berbentuk bujur seperti model sebelum ini.
Sebaliknya, bahagian penjuru bawah muncung hadapan kini dilebarkan ke luar untuk menghasilkan bentuk lebih trapezoid, manakala elemen hitam merentasi jeriji yang berbentuk segi empat. Menurut Nissan, rekaan tersebut bukan sahaja menyerlahkan perkadaran klasik Z dengan hud panjang dan bahagian belakang pendek, tetapi pada masa sama memberikan kedudukan yang kelihatan lebih rendah serta lebar.
Bersama bampar baru itu, Fairlady Z turut menerima beberapa sentuhan yang mengimbau generasi terdahulu, termasuk penggunaan semula lambang Z pada bahagian hadapan menggantikan logo Nissan. Lambang ikonik tersebut pernah digunakan pada model-model terdahulu bermula daripada S30 yang diperkenalkan pada 1969 sehingga Z32 pada 1989, dan kini kembali digunakan pada model terkini termasuk varian Nismo yang secara keseluruhannya masih mengekalkan penampilan sedia ada.
Varian standard pula mendapat rim aloi ringan dengan reka bentuk aero-disc yang diperbuat daripada aluminium forged, dengan corak geometri di sekeliling rim sebagai penghormatan kepada Z31. Nissan turut memperluaskan pilihan warna dengan kemasan dua tona Unryu Green/Super Black yang diinspirasikan daripada Grand Prix Green, iaitu warna ikonik S30 yang masih mempunyai ramai peminat dalam kalangan peminat Z sehingga kini.
Selain kombinasi tersebut, pelanggan boleh memilih empat lagi kemasan dua tona dan lima warna satu tona, menjadikan keseluruhan 10 pilihan warna tersedia. Untuk kabin, skema warna coklat klasik daripada S30 kini ditawarkan sebagai pilihan bagi pelanggan yang mahukan suasana dalaman lebih kemas dan sofistikated. Panel instrumen digital 12.3 inci juga menerima animasi permulaan baru yang memaparkan bayang setiap generasi Z daripada S30 sehingga model RZ34 semasa.
Dari segi dinamik pemanduan, sistem suspensi Fairlady Z kini menggunakan penyerap hentak monotube berdiameter lebih besar yang direka untuk bertindak balas dengan pantas terhadap perubahan permukaan jalan. Nissan mendakwa kawasan penerima tekanan pada penyerap hentak meningkat sebanyak 26.6%, sekaligus membantu mengawal perubahan posisi badan kereta dengan lebih berkesan.
Bagi varian Nismo dengan transmisi manual enam kelajuan, model ini menerima penukar gear dengan jarak gerak lebih pendek (shortshift), selain tindak balas pendikit dan pemasaan pencucuhan (ignition timing) yang dioptimumkan. Mod pemanduan Standard dan Sport masih tersedia, manakala sistem Vehicle Dynamics Control turut mendapat mod Traction eksklusif Nismo untuk membantu meningkatkan kawalan ketika pemanduan lebih agresif.
Fairlady Z Nismo turut dilengkapi cakera brek hadapan two-piece berliang, sama seperti yang digunakan pada Nissan GT-R. Sistem tersebut menawarkan pelepasan haba yang lebih baik serta membantu mengurangkan unsprung mass. Ia masih dipadankan dengan angkup brek berwarna merah, selain menerima talaan suspensi semula dan steering rack geseran rendah bagi memberikan tindak balas lebih tepat ketika dipandu di litar.
Pelanggan yang memilih versi Nismo boleh mendapatkan lima pilihan warna badan, termasuk kemasan dua tona Nismo Stealth Grey/Super Black yang eksklusif untuk varian tersebut. Kesemua model Nismo pula hadir dengan ruang kabin yang menggunakan kemasan tempat duduk kulit dan Alcantara, selaras dengan karakter prestasi yang dibawanya.
Dari segi kelengkapan, pengecas tanpa wayar Qi2 kini ditambah, lengkap dengan magnet binaan dalam dan kipas penyejuk bersepadu bagi memastikan telefon kekal pada kedudukannya ketika dicas. Nissan turut memperkenalkan tangki bahan api dengan ruang dalam baru untuk memastikan bekalan bahan api lebih stabil ketika mengambil selekoh dengan lateral-G tinggi. Sistem brek kecemasan autonomous juga kini mampu mengesan penunggang basikal.
Pada bahagian enjin, Fairlady Z facelift masih menggunakan unit VR30DDTT yang sama seperti sebelum ini. Varian standard menggunakan enjin petrol V6 3.0 liter twin-turbo yang menghasilkan 405 PS (400 hp atau 298 kW) pada 6,400 rpm dan tork maksimum 475 Nm dari 1,600 hingga 5,600 rpm. Sementara itu, enjin bagi Nismo menerima talaan lebih tinggi dengan output 420 PS (414 hp atau 309 kW) pada 6,400 rpm dan 520 Nm dari 2,000 hingga 5,200 rpm.
Kedua-dua pilihan enjin boleh dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik sembilan kelajuan 9M-ATx, dengan kuasa disalurkan secara eksklusif ke roda belakang. Untuk harga, Fairlady Z dengan kedua-dua pilihan transmisi ditawarkan dalam tiga gred utama, bermula 5,737,600 yen atau sekitar RM145,000, diikuti Version ST pada 6,999,300 yen (RM177,000) dan Nismo pada 9,752,600 yen (RM246,000).
Setiap jenis transmisi turut mempunyai satu gred khusus. Versi S yang hanya ditawarkan bersama transmisi manual enam kelajuan berharga 6,586,800 yen, bersamaan kira-kira RM166,000. Bagi pilihan automatik sembilan kelajuan pula, gred khususnya ialah Version T dengan harga 6,199,600 yen atau sekitar RM157,000.











Nissan Serena e-Power
dari RM154,800
Nissan Kicks e-Power
dari RM113,800
Nissan Navara
dari RM98,600
Nissan Almera
dari RM83,888
Nissan Leaf
dari RM168,888
Nissan NV200
dari RM79,800