Letbe Flygon sedang dipertimbang untuk pasaran M’sia

Satu lagi model daripada Letbe yang sedang dipertimbang untuk pasaran Malaysia oleh MForce Bike Holdings Sdn Bhd adalah Flygon, yang membawa penampilan serta tetapan unik berbanding kebanyakan motosikal lain dalam pasaran.

Sebenarnya, Flygon ini sudah pernah muncul di Malaysia sewaktu MForce MotoExperience Mei lalu, tetapi kita masih belum mengetahui spesifikasi apa yang akan diambil jika ia benar-benar memasuki pasaran. Ini kerana di China, motosikal ini tersedia dalam versi 125 cc dan 220 cc.

Jika melihat kepada versi 220 cc, ia dipacu oleh enjin satu silinder suntikan bahan api dengan penarafan emisi Euro 5+, dipadankan bersama transmisi lima kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 17 hp pada 7,500 rpm dan tork 17 Nm pada 5,500 rpm.

Selain lampu hadapan, bahagian lain yang unik pada motosikal ini adalah tetapan tayarnya, di mana bahagian hadapan menggunakan rim spoked 18 inci dengan tayar 130/80 dan belakang unit 14 inci dengan tayar 180/80. Brek cakera disediakan pada kedua-dua roda, lengkap dengan sistem ABS dual-channel (boleh ditutup).

Sistem suspensi terdiri daripada fork USD di hadapan dan monoshock di belakang, manakala informasi penting pula dipaparkan menerusi meter TFT berbentuk bulat. Kelengkapan lain yang disediakan adalah tangki bahan api 12 liter, sistem kawalan cengkaman, kunci pintar serta tapak beg di atas tangki. Berat keseluruhan Flygon adalah 140 kg.