Jika anda perasan semasa acara MForce MotoXperience Mei lalu, ada satu jenama yang membuat penampilan buat pertama kali di Malaysia, iaitu Letbe dari China. Daripada maklumat yang kami terima, model pertama Letbe yang akan dilancar di Malaysia seawal tahun hadapan adalah sebuah skuter, dan Mecha ini adalah antara calonnya.
Di negara asalnya, Mecha ini datang dalam beberapa spesifikasi enjin iaitu 125, 150 dan 200 cc, namun kita masih tidak mengetahui yang mana satu akan dibawa oleh MForce Bike Holdings. Apapun, kesemuanya adalah unit satu silinder suntikan bahan api dengan penarafan emisi Euro 5+ bersama gabungan transmisi automatik CVT dan kuasa masing-masing 12 hp/12.5 Nm, 16 hp/14.7 Nm dan 17.5 hp/17.6 Nm.
Mecha hadir dengan rekaan unik berpetak dan dilengkapi antaranya lampu hadapan dan belakang LED, logo serta panel tepi berlampu (boleh bertukar warna) ruang kaki luas dan tapak beg barangan yang disediakan secara standard.
Rim menggunakan saiz 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang, dan ia masing-masing dipegang oleh fork teleskopik serta dua penyerap hentak (belakang) dengan tabung gas. Sistem brek mendapat angkup daripada Nissin di hadapan dan belakang, lengkap bersama ABS dual-channel. Tidak cukup dengan itu, skuter ini juga diberikan dengan sistem kawalan cengkaman serta pemerhati tekanan angin tayar.
Informasi penting motosikal dipaparkan melalui panel meter TFT di hadapan penunggang, sementara untuk ruang simpanan, selain di bawah tempat duduk, terdapat juga dua konsol di bahagian bawah pemegang. Bahagian kiri menempatkan soket kuasa 12V, USB-A dan USB-C manakala di bahagian kanan terdapat lubang kunci kecemasan.
Mecha juga datang dengan kelengkapan lain seperti tangki bahan api 12 liter, sistem kunci pintar dan fungsi start/stop. Tinggi tempat duduknya adalah 766 mm manakala berat keseluruhan yang dicatat adalah 145 kg.








