MForce bakal perkenal kapcai 150 cc lima kelajuan klac auto tahun depan, harga sasaran bawah RM8k

MForce Bike Holdings Sdn Bhd membuat kejutan apabila membuat pengumuman bakal memperkenalkan sebuah model kapcai 150 cc dengan sistem klac automatik pada tahun hadapan. Turut didedahkan adalah sebuah video yang menampakkan proses pembangunan motosikal tersebut.

Melalui maklumat yang diperolehi daripada pengurusan tertinggi MForce, selain tetapan enjin 150 cc dan transmisi klac automatik, kapcai itu juga akan menggunakan jenama baru Letbe, yang duduk di bawah syarikat Guangzhou Haojin Motorcycle dari China.

Pembangunan kapcai itu juga dibuat bersama Letbe dan sekarang berada dalam proses pembentukan bahagian badan sebelum dibawa untuk imbasan 3D. Rekaan yang boleh anda lihat daripada tangkap layar video itu diberitahu cuma rekaan awal, dan beberapa perubahan masih boleh dibuat.

Kami sendiri turut serta dalam kumpulan media yang dibawa ke kilang Haojin di Guangzhou untuk melihat prototaip kapcai ini, namun tidak dibenarkan mengambil sebarang gambar keadaan ia sekarang. Apa yang boleh diberitahu, itu mungkin bukan bentuk akhirnya dan mekanikal asas yang digunakan juga adalah berlainan.

MForce juga ada memberitahu bahawa kapcai ini akan membawa spesifikasi serta kelengkapan yang mengatasi pesaing dalam segmen sama sedia ada di Malaysia, termasuk transmisi lima kelajuan (dalam perancangan). Ia dibangunkan khas untuk negara kita dan dijangka dilancarkan pada separuh pertama tahun hadapan dengan harga sasaran di bawah RM8k.