Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) telah pun dibuka untuk kegunaan trafik sejak 4 September lalu. Syarikat konsesinya, LPT2 Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat kepada PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa persimpangan bertingkat terbabit dijangka dapat meningkatkan mobiliti setempat serta menyokong aktiviti ekonomi di sekitar Balok, Gebeng dan kawasan perindustrian berdekatan.
Persimpangan di KM264 yang terletak di antara Plaza Tol Jabor dan Plaza Tol Cheneh itu turut menghubungkan LPT2 dengan Jalan Persekutuan FT3 Kuantan-Kemaman. Ia telah dibangunkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur merupakan persimpangan bertingkat yang ke-11 di LPT2 dan merupakan plaza tol LPT2 yang pertama di negeri Pahang.
“Bagi pengguna dari arah Terengganu atau Kuala Lumpur yang menghala ke Beserah, Balok, Gebeng, Cherating dan kawasan perindustrian sekitarnya, laluan menerusi Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan ini dijangka menjimatkan masa sehingga 30 minit. Laluan ini
juga dijangka membantu menyuraikan trafik di jalan persekutuan serta mengurangkan pertembungan trafik jarak jauh dengan trafik tempatan di kawasan penempatan, sekolah, premis perniagaan dan kemudahan awam.
“Pada masa sama, pembukaan persimpangan baharu ini menyediakan akses yang lebih mudah dan terus ke Pelabuhan Kuantan, Kuantan Port City, Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) dan kawasan perindustrian berhampiran. Bagi penduduk setempat, persimpangan ini membuka ruang pertumbuhan ekonomi baharu dan merangsang aktiviti perniagaan tempatan, yang secara tidak langsung membantu mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan dalam sektor logistik, perindustrian dan perkhidmatan,” kata Datuk Nik Airina Nik Jaffar, Pengarah Eksekutif LPT2 Sdn Bhd merangkap Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad.
Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan merupakan infrastruktur strategik yang akan menyokong pertumbuhan jangka panjang Pelabuhan Kuantan dan MCKIP dengan menyediakan akses yang lebih cekap kepada rangkaian LPT2. Kemudahan ini dijangka dapat memudah cara keperluan mobiliti masa hadapan sejajar dengan pembangunan kawasan tersebut.
Berdasarkan dapatan Kajian Penilaian Impak Trafik (TIA), pelan pembangunan di sekitar Pelabuhan Kuantan dan MCKIP berpotensi menjana lebih 20,000 kenderaan sehari apabila direalisasikan sepenuhnya. Sebahagian besar daripada trafik ini akan menggunakan rangkaian LPT2 melalui Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan, bergantung kepada tahap pembangunan serta aktiviti ekonomi pada masa hadapan.
Persimpangan ini mempunyai plaza tol tujuh lorong yang terdiri daripada tiga lorong masuk dan empat lorong keluar, serta dilengkapi dengan kemudahan awam seperti tandas, surau, wakaf dan kawasan meletak kenderaan untuk keselesaan pengguna.









