Modenas Elit 150S dipertingkat, warna baru – RM7,877

Selain Z15GT, Modenas juga memperkenalkan Elit 150S yang dipertingkat, bersama pilihan warna baru Amazon Green, Glorious Black serta Nardo Grey. Harganya masih RM7,877, sama seperti waktu dilancarkan September lalu, dan didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

Peningkatan yang dibuat pada Elit 150S melibatkan tiga bahagian iaitu pertama untuk rekaan spring penutup tempat mengisi minyak, diikuti pembuangan soket terbuka (tidak dipakai) pada bahagian hadapan serta pelarasan ECU untuk memberikan pemasaan suntikan yang lebih baik serta tahap cutoff RPM yang lebih tinggi.

Bahagian lain masih sama seperti sebelum ini, termasuk enjin yang menggunakan unit satu silinder penyejukan cecair SOHC 149 cc, bersama transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan kuasa 14 hp pada 8,250 rpm dan tork 13.5 Nm pada 6,750 rpm.

Bahagian roda terdiri daripada rim 13 inci di hadapan dan belakang, dipegang masing-masing oleh fork teleskopik dan dua penyerap hentak, manakala fungsi penghentian dilaksana oleh tetapan brek cakera hadapan dan belakang. Meskipun cakera hadapannya mmpunyai ring, sistem ABS tidak disediakan.

Sebagai sebuah skuter, Elit 150S menyediakan beberapa kemudahan untuk pengguna termasuk ruang simpanan 23 liter di bawah tempat duduk, dua poket barangan di bawah bahagian pemegang, soket pengecas USB, sistem kunci pintar serta lampu kecemasan. Informasi penting dipaparkan melalui panel meter digital LCD manakala tangki bahan api berkapasiti 12 liter.