JPJ kutip lebih RM25 juta dalam tempoh dua hari bidaan siri khas “H” – masih dibuka hingga 20 Sept ini

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengutip sebanyak RM25 juta hasil bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri “H” dalam hanya dua hari bidaannya dibuka sejak semalam (16 Sept).

Siri “H” ini ditawarkan sempena Sambutan Hari Malaysia 2026, merangkumi nombor pendaftaran H 1 hingga H 9999. Menurut JPJ, pemilihan huruf “H” adalah bagi melambangkan Harmoni, selaras dengan semangat Hari Malaysia dalam meraikan kepelbagaian serta kebersamaan sebagai sebuah negara yang bersatu padu.

Malah satu lagi keistimewaan siri “H” ialah ia akan menjadi siri nombor pendaftaran satu huruf terakhir yang akan dikeluarkan oleh JPJ.

JPJ kutip lebih RM25 juta dalam tempoh dua hari bidaan siri khas “H” – masih dibuka hingga 20 Sept ini

“Hasil bidaan ini bukan sekadar menyumbang kepada hasil Kerajaan, malah dikembalikan kepada rakyat menerusi pelbagai program dan inisiatif Jabatan termasuk Program MyLesen dan Program Pertukaran Topi Keledar Percuma, selaras dengan komitmen JPJ terhadap kesejahteraan rakyat dan keselamatan jalan raya.

“Bidaan NPI Siri “H” masih dibuka secara dalam talian melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) di pautan https://jpjebid.jpj.gov.my/ebid/login sehingga 20 September 2026, jam 10.00 malam. Keputusan bidaan dijadualkan diumumkan pada 21 September 2026 dalam tempoh 24 jam,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Jadi, sekiranya anda berminat mendapatkan siri “H” ini untuk dipadankan dengan kenderaan baharu anda, cepat-cepatlah membidanya menerusi JPJ eBid. Nombor yang berjaya dibida pula mesti didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh keputusan rasmi bidaan dikeluarkan. Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.