Volvo XC60 generasi kedua muncul buat pertama kali pada 2017 – jadi masuk tahun ini ia sudahpun berada selama sembilan tahun dalam pasaran. Namun nampaknya tiada tanda-tanda lagi SUV ini akan dihentikan pengeluarannya untuk digantikan dengan model generasi baharu. Ini kerana XC60 generasi kedua ini diberikan satu lagi versi facelift untuk 2027, menampilkan beberapa perubahan dari segi rupa dan juga kemaskini kelengkapan, teknologi serta rupa yang disegarkan.
Dari luar, model facelift 2027 ini boleh dikenali dengan gril hadapan baharu yang nampak lebih lebar dan seakan ditusuk oleh jalur LED lampu nyalaan siang ‘Tukul Thor’ yang lebih ringkas di dalam lampu utama di kiri dan kanan. Fender sisi hadapan dan bampar hadapan juga direka semula bagi disepadankan dengan muka baharu XC60 ini. Di belakang, perubahan diberikan pada lampu yang kini direka lebih nipis dan juga bampar yang nampak lebih ringkas.
Rekaan dalaman pula masih lagi nampak sama seperti versi sebelum ini. Penyegaran cuma dibuat dengan memberikan beberapa perapi dengan kemasan baharu, pilihan upholsteri kulit Nappa sebenar kemasan Cardamom, serta penambahan lampu suasana kabin.
Untuk sistem infotainmen, ia masih beroperasi dengan sistem berasaskan Volvo Car UX Android Automotive, namun kini dipertingkat dengan menampilkan sistem arahan suara AI Google Gemini.
Seperti biasa, XC60 hadir dengan pelbagai pilihan unit rangkaian kuasa. Bagi model petrol penuh, ia masih menggunakan unit rangkaian kuasa B5 AWD yang menampilkan enjin 2.0 liter empat-silinder turbo. Kuasa masih sama iaitu 250 PS, namun tork model 2027 ini naik 10 Nm lebih tinggi kepada 360 Nm.
Ia digandingkan dengan sistem hibrid ringkas 48-volt yang memberikan tujahan kuasa tambahan 14 PS dan 40 Nm, dan ia dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear lapan kelajuan automatik. Ini membolehkan varian ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.
Manakala bagi varian plug-in hybrid (PHEV) iaitu T6 AWD dan T8 AWD, ia kini menerima bateri yang lebih besar berkapasiti 41.2 kWj, atau 19 kWj lebih besar berbanding versi sebelumnya. Ini membolehkan XC60 ini mencapai jarak elektrik penuh sejauh 200 km, dan bagi varian T6 ia boleh bergerak sejauh 1,253 km dengan satu tangki penuh dan satu cas bateri penuh berdasarkan ujian WLTP.
Di Eropah, Volvo XC60 dengan unit rangkaian kuasa PHEV ini menerima peningkatan tahun lalu di mana motor elektrik yang memacu gandar belakang yang diberikan menerima kuasa lebih tinggi sehingga 177 PS/309 Nm. Namun ada pasaran tertentu (termasuk Malaysia) masih lagi dibekalkan dengan motor elektrik versi sebelumnya yang berkuasa 145 PS.
Manakala enjin petrol yang digandingkan dengan sistem PHEV yang dikemaskini berkenaan dikurangkan kuasanya bagi memberikan jumlah kuasa keseluruhan yang sama. Jadi untuk varian T6, enjin 2.0 liter empat-silinder turbo berkenaan ditala bagi menghasilakn kuasa 180 PS dan tork maksima 280 Nm, menghasilkan kuasa keseluruhan 357 PS dan tork maksima 589 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat.
Manakala untuk varian T8, ia menggunakan enjin petrol yang sama seperti varian B5 bagi menghasilkan kuasa keseluruhan akhir 461 PS dan tork maksima 759 Nm, bagi membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat. Namun dengan prestasi lebih pantas ini telah menyebabkan jarak gerak elektrik penuh bagi varian T8 ini lebih rendah berbanding T6 iaitu hanya 187 km, dan jarak keseluruhan gandingan petrol dan elektrik juga turun kepada 1,233 km.
Untuk mengecas unit rangkaian kuasa PHEV ini, ia masih hanya dibekalkan dengan sistem AC yang memerlukan masa empat jam bagi memenuhkan cas bateri, tanpa sokongan sistem pengecas pantas DC.
Bagi keselamatan pula, XC60 ini hadir dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) terbaharu Volvo, menampilkan brek kecemasan automatik dengan pengelak pelanggaran di simpang dan lorong bertentangan, bantuan stereng untuk mengelak, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang, pengenal tanda trafik, bantuan pengehad kelajuan, amaran bukaan pintu serta sistem pemanduan autonomi Tahap 2 Pilot Assist dengan bantuan tukar lorong yang ditawarkan secara opsyen.
Tempahan bagi Volvo XC60 facelift 2027 ini sudahpun dibuka di beberapa pasaran di Eropah, dan ia akan mula diproduksi pada suku keempat tahun ini.









