Untuk anda yang sedang mencari-cari nombor pendaftaran kenderaan baharu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri terkini dari WP Kuala Lumpur dan Sarawak bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

Siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur, VRV, bakal dibuka bidaan mulai 23 Sept. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 27 Sept. Kebiasaanya keputusan akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 28 Sept 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

Manakala siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak, QM_V, pula akan dibuka bidaan bermula 24 Sept ini. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 28 Sept, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 29 Sept 2026.

Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.