Bagi pengguna Lebuhraya Utara-Selatan dan juga masyarakat di Negeri Sembilan, ini ada makluman buat anda. JKR Negeri Sembilan mengumumkan penutupan persimpangan lampu isyarat selepas laluan keluar Plaza Tol Seremban yang akan dilaksanakan mulai esok (22 Sept) hingga 5 Okt 2026.
JKR berkata, penutupan persimpangan utama itu adalah untuk melaksanakan kajian penyuraian trafik antara laluan keluar plaza tol berkenaan dan Jalan Sungai Ujong yang memang ‘terkenal’ dengan kesesakan lalu lintas khususnya pada waktu puncak.
Tambahnya, dalam masa yang sama pemerhatian di lapangan serta maklum balas daripada agensi-agensi berkaitan akan juga akan dijalankan. Perbincangan akan diadakan bagi mengenal pasti penyelesaian segera, selain mengemukakan cadangan penambahbaikan infrastruktur untuk jangka sederhana dan panjang.
Sepanjang tempoh persimpangan lampu isyarat tersebut ditutup, pengguna yang datang dari arah Lebuhraya PLUS menuju ke pusat bandar Seremban perlu membelok ke kiri menghala ke Jalan Labu (di mana terletaknya Seremban Gateway II) sebelum membuat satu lagi belokan kiri di persimpangan tersebut.
Bagi pengguna yang ingin menuju ke Jalan Lingkaran Tengah Rembau / Kuala Pilah / Kuala Klawang pula, mereka tidak boleh membelok ke kanan di persimpangan berkenaan. Sebaliknya, mereka perlu membuat pusingan U di hadapan Seremban Gateway II sebelum meneruskan perjalanan. Bagitu juga dengan pengguna yang menuju ke Seremban 2, Sendayan dan Seremban Gateway I juga perlu membuat pusingan U. Rujuk peta di atas untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.








