Rapid KL sediakan bas perantara percuma sempena F1 di SIC pada 2-4 Okt 2026; lokasi di KLIA2, Mitsui, Enstek

Jika anda merancang mahu menyaksikan sendiri perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Okt ini, mungkin anda boleh mempertimbangkan untuk menaiki pengangkutan awam ke sana.

Rapid KL dengan kerjasama SIC akan menyediakan perkhidmatan bas perantara khas percuma sebanyak 95 buah bas secara ulang-alik (loop service), sekali gus memastikan pergerakan pengunjung dari lokasi tumpuan ke kawasan acara dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan selesa.

Tiga lokasi khas yang akan disediakan bas perantara percuma ini iaitu di hab bas Aras 1 di KLIA Terminal 2, hab bas di Mitsui KLIA dan juga De-Village di Persiaran Miilenia 2, Bandar Baru Enstek. Waktu operasi adalah dari jam 7 pagi hingga 12 tengahmalam pada ketiga-tiga hari tersebut, dengan kekerapan ketibaan bas antara 10 hingga 15 minit.

Untuk ke lokasi bas perantara percuma tersebut, anda boleh menaiki tren LRT Laluan Kelana Jaya, Monorel dan MRT Laluan Kajang (berhenti di Stesen Muzium Negara) untuk ke Stesen KL Sentral. Jika menggunakan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, anda boleh berhenti di Stesen Bandar Tasik Selatan. Manakala jika menggunakan MRT Laluan Putrajaya, anda boleh berhenti di Stesen Putrajaya.

Kemudian, dari stesen yang dinyatakan itu, anda boleh menaiki pula KLIA Ekspress atau KLIA Transit untuk ke KLIA 2, sebelum menaiki bas perantara percuma yang disediakan oleh Rapid KL. Atau pun anda boleh memandu sendiri ke Mitsui KLIA atau De-Village dan parkir di sana, kemudian naiki bas perantara yang disediakan.

Cara ini mungkin lebih menjimatkan kerana jika anda memandu terus ke SIC, kadar parkir yang diumumkan adalah antara RM243.96 hingga RM650.83. Untuk yang menaiki motosikal pula, SIC sudah memaklumkan bahawa tiada parkir akan disediakan untuk kenderaan terbabit. Jadi anda boleh parkir di mana-mana lokasi pengambilan yang disediakan oleh Rapid KL untuk menggunakan perkhidmatan bas perantara percuma ini.

Bagi melengkapkan perkhidmatan tersebut, Rapid KL turut menyediakan perkhidmatan bas perantara dalam kawasan litar bagi memudahkan pergerakan pengunjung ke lokasi

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn. Bhd., Syahrul Azmir Ahmad Zaki, berkata penyediaan perkhidmatan tersebut mencerminkan komitmen Rapid KL dalam menyokong penganjuran acara bertaraf antarabangsa serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

“Penganjuran acara perlumbaan berprestij antarabangsa di Sepang International Circuit ini merupakan detik yang amat dinantikan oleh para peminat sukan permotoran tanah air. Rapid KL berbangga dapat bekerjasama dalam menjayakan acara ini dengan menyediakan kemudahan pengangkutan bagi membantu memudahkan pergerakan pengunjung,” katanya.

Rapid KL turut berkata, bagi memastikan operasi berjalan lancar dan selamat, kesemua bas akan menjalani pemeriksaan keselamatan serta dipantau secara berterusan sepanjang tempoh perkhidmatan. Pasukan petugas Rapid KL turut ditempatkan di lokasi-lokasi strategik sekitar kawasan acara bagi membantu dan mengawal pergerakan penumpang.

Pengunjung dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi arahan petugas dan beratur ketika menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan. Maklumat lanjut mengenai laluan dan jadual operasi perkhidmatan bas perantara boleh diperoleh menerusi laman web dan saluran media sosial rasmi Rapid KL.