Penganjur larian perlu selaraskan laluan tetap bersama DBKL , PDRM bagi kurangkan gangguan trafik – Hannah

Penganjur acara larian disaran supaya menyelaras laluan tetap di pusat bandar Kuala Lumpur bersama DBKL dan PDRM bagi mengurangkan gangguan trafik akibat penutupan jalan yang sering berubah-ubah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, mencadangkan supaya satu laluan standard ditetapkan berdasarkan jarak larian.

“Tiga kilometer, laluan ini. Lima kilometer, laluan ini. Penganjur tidak boleh memilih mana-mana laluan yang mereka mahu. Untuk minggu ini sahaja, satu acara larian menyebabkan 30 jalan ditutup.

“Saya tidak boleh menerima keadaan ini. Saya tidak mahu orang awam tidak dapat merancang perjalanan mereka ke bandar. Kita perlu memastikan acara larian dijalankan secara teratur,” katanya kepada pemberita pada Sabtu lalu, menurut laporan Bernama.

Beliau turut berkata langkah tersebut bukan bertujuan untuk menghentikan acara larian, sebaliknya memastikan acara seumpama itu dapat dilaksanakan dengan teratur tanpa menjejaskan aliran trafik di ibu negara, memandangkan lebih satu juta kenderaan memasuki Kuala Lumpur setiap hari.

Penganjur larian perlu selaraskan laluan tetap bersama DBKL , PDRM bagi kurangkan gangguan trafik – Hannah

Beliau menambah bahawa penganjur yang memerlukan laluan berbeza daripada laluan yang telah ditetapkan boleh mempertimbangkan kawasan lain yang kurang sesak, selain menggunakan laluan sedia ada seperti laluan yang digunakan untuk program KL Car Free Morning.

“Kuala Lumpur ialah sebuah bandar yang memerlukan pengurusan yang lebih teratur. Saya tidak mahu orang awam membuang masa menunggu berjam-jam sehingga jalan dibuka semula,” kata Ahli Parlimen Segambut itu.

Pandangan menteri itu ada asasnya dan beliau dipercayai merujuk kepada Coway Run yang berlangsung semalam. Bermula dan berakhir di Stadium Merdeka, laluan larian tersebut sepenuhnya melalui kawasan pusat bandar.

Bagaimanapun, beberapa hari sebelum acara itu berlangsung, penganjur telah mengurangkan jarak larian 30 km kepada hanya 10 km, dengan alasan faktor keselamatan kesihatan dan ketidakpastian mengenai keadaan kualiti udara.