JAC T9 EV, PHEV, diesel akan CKD melalui FT Assembly – trak pikap EV, PHEV pertama pasang di Malaysia

Pengedar JAC di Malaysia, Evolvelectric Motors, telah menandatangani perjanjian dengan FT Assembly, anak syarikat Feytech, bagi pemasangan tempatan (CKD) trak pikap JAC T9 dalam tiga pilihan rangkaian kuasa iaitu plug-in hybrid (PHEV), elektrik (EV) dan diesel. Pengeluaran T9 PHEV dijangka bermula pada November ini, diikuti versi EV pada Januari tahun depan, sekaligus menjadikan kedua-duanya trak pikap PHEV dan EV pertama yang dipasang secara CKD di Malaysia.

Kemudahan pemasangan JAC itu akan dibangunkan di Kulim, Kedah, dengan FT Assembly melabur RM3.6 juta untuk menubuhkan fasiliti berkeluasan 84,000 kaki persegi. Pelaburan tersebut berpotensi meningkat sehingga RM8 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang. Pengeluaran akan dimulakan dengan T9 PHEV, diikuti T9 diesel dan seterusnya T9 EV, dengan kapasiti pengeluaran tahun pertama dianggarkan sebanyak 3,000 unit serta sasaran kandungan tempatan sehingga 30%.

Menurut Evolvelectric Motors, penubuhan fasiliti berkenaan dijangka menyumbang nilai ekonomi sebanyak RM230 juta setahun. Pada masa sama, projek ini membolehkan FT Assembly memperluaskan keupayaannya dalam pemasangan kenderaan serta meneroka peluang untuk menyokong lebih banyak jenama automotif pada masa akan datang.

JAC T9 EV, PHEV, diesel akan CKD melalui FT Assembly – trak pikap EV, PHEV pertama pasang di Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif Evolvelectric Motors, Lau Yit Mun berkata, ketika pengeluar dari Jepun dan Amerika memilih Thailand sebagai lokasi pengeluaran trak pikap mereka, JAC Pickup bersama Evolvelectric Motors mengambil langkah untuk mengukuhkan asas pengeluaran trak pikap di Malaysia. JAC turut sedang meneroka peluang untuk mengeksport trak pikap yang dipasang di Malaysia, bergantung kepada keadaan dan faktor pasaran yang bersesuaian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pengarah eksekutif Feytech Holdings, Connie Go berkata, projek JAC ini menjadi satu pencapaian penting dalam perkembangan Feytech daripada pengeluar komponen automotif kepada rakan pemasangan kenderaan secara CKD.

Melalui FT Assembly, syarikat itu kini memperluaskan keupayaan kepada pemasangan kenderaan komersial ringan, selain membangunkan proses pemasangan yang lebih tersusun bagi mengukuhkan keupayaan pengeluaran serta memperluaskan penglibatan dalam rantaian nilai automotif.

JAC T9 EV, PHEV, diesel akan CKD melalui FT Assembly – trak pikap EV, PHEV pertama pasang di Malaysia

JAC T9 diesel yang berharga RM120,000 dan T9 EV pada harga RM200,000 dilancarkan serentak di Malaysia pada Mac 2025. Ketika diperkenalkan, T9 EV menjadi trak pikap elektrik pertama di Malaysia yang ditawarkan kepada pembeli persendirian, sebelum kehadiran Toyota Hilux EV dan Maxus eTerron 9 dalam segmen sama.

Menurut Evolvelectric Motors lagi, T9 PHEV pula akan tiba di Malaysia pada awal November sebagai model import sepenuhnya (CBU) terlebih dahulu, sekaligus menjadikannya trak pikap PHEV pertama di negara ini. Versi CKD dijangka menyusul selepas pengeluaran tempatan bermula di fasiliti baru FT Assembly.

Bagi spesifikasi, JAC T9 PHEV dijangka menggunakan enjin petrol turbo 2.0 liter yang digabungkan dengan dua motor elektrik, sekaligus membolehkannya menawarkan sistem pacuan semua roda (AWD). Gabungan sistem tersebut menghasilkan kuasa keseluruhan 523 PS dan tork 1,000 Nm, manakala tenaga dibekalkan oleh bateri LFP berkapasiti 31.2 kWh. Model ini turut menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 100 km dan jarak keseluruhan sekitar 1,000 km.

GALERI: JAC T9 diesel pasaran Malaysia

GALERI: JAC T9 EV pasaran Malaysia