Kerajaan sedang memperhalusi bentuk pampasan, kaedah penilaian dan pelaksanaan pampasan atau ganti rugi kepada mangsa atau waris kemalangan jalan raya membabitkan pemandu mabuk dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) sebagai tambahan hukuman jenayah sedia ada, laporan Berita Harian.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, secara dasarnya, kerajaan telah bersetuju mengenai pampasan berkenaan dan cadangan pindaan bakal dibentangkan di Parlimen apabila dimuktamadkan kelak. Pindaan berkenaan adalah bertujuan memastikan pesalah bukan sahaja dikenakan hukuman penjara, denda dan hilang kelayakan memandu, malah memikul tanggungjawab membayar kerugian ditanggung mangsa atau keluarga mereka.
“Pada masa ini, Seksyen 44 Akta 333 memperuntukkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian. Akta ini juga mengawal kesalahan berkaitan kandungan alkohol melebihi had yang dibenarkan melalui Seksyen 45A serta peruntukan berkaitan ujian nafas dan spesimen.
“Namun, kerajaan berpandangan selain hukuman punitif, strategi dilaksanakan perlu merangkumi pencegahan, penguatkuasaan, pendidikan dan kawalan terhadap pemandu berisiko tinggi,” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) di Parlimen.
Ahli Parlimen Tenggara itu mahu mengetahui hasrat Kementerian Pengangkutan menggubal mekanisme perundangan bagi mewajibkan pampasan mandatori (restitusi) daripada pemandu mabuk kepada mangsa atau waris yang terkesan akibat kecederaan parah atau kematian, sebagai tambahan kepada hukuman penjara dan denda sedia ada.
Tambah Loke, kerajaan memandang serius kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang mengakibatkan kecederaan atau kematian.
Justeru, katanya, daripada aspek penguatkuasaan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melaksanakan operasi bersasar termasuk pemeriksaan pengambilan alkohol di lokasi serta waktu berisiko tinggi.
“Daripada aspek pencegahan pula, pendidikan dan advokasi mengenai bahaya memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah terus diperkukuh, termasuk penekanan pengguna perlu memilih alternatif perjalanan selamat sekiranya tidak berada dalam keadaan sesuai untuk memandu.
“Kerajaan juga sedang meneliti pengukuhan sistem mata demerit dan tindakan terhadap lesen memandu pesalah berulang, selaras dengan keputusan dasar yang sudah dibuat bagi memperkukuh keseluruhan kerangka tindakan terhadap kesalahan berisiko tinggi,” katanya.
Loke berkata pada masa ini kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dibawa terus ke mahkamah dan tidak termasuk dalam senarai kesalahan dikenakan mata demerit.
Sehubungan itu, katanya, pendekatan kerajaan adalah untuk memastikan tindakan terhadap pemandu mabuk bukan sahaja merangkumi hukuman kepada pesalah, tetapi juga perlindungan dan pembelaan lebih baik kepada mangsa serta waris, di samping intervensi pencegahan bagi mengurangkan risiko kejadian daripada berlaku.









