Belanjawan 2027: KKR terima peruntukan RM10.82b – naik 1.78%; majoriti untuk perbelanjaan pembangunan

Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diberikan peruntukan sebanyak RM10.882 bilion di bawah Belanjawan 2027, yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu (9 Oktober 2026). Menurut kementerian terbabit, peruntukan berkenaan meningkat 1.78% berbanding RM10.692 bilion yang diterima untuk 2026.

Menteri KKR, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada peruntukan tersebut, sebanyak RM1.146 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, meningkat 5.67% berbanding RM1.085 bilion, manakala RM9.376 bilion (meningkat 1.34% berbanding RM9.607 bilion) diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan. Peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan itu merangkumi RM1.38 bilion untuk Lebuhraya Pan Borneo, RM801.46 juta bagi pembangunan jalan raya dan jambatan di Sabah, serta RM565.30 juta untuk Sarawak.

Selain itu, hampir RM800 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan jalan persekutuan, termasuk RM350 juta untuk kontraktor di Malaysia Timur. Peruntukan khas bagi jurutera daerah di seluruh negara juga telah dinaikkan kepada RM40 juta berbanding RM30 juta pada tahun lalu bagi memperkukuh pelaksanaan projek di peringkat daerah.

Kementerian itu turut menyambut baik peruntukan sebanyak RM7.5 bilion bagi memperkasakan kontraktor kecil Bumiputera gred G1 hingga G4, iaitu peningkatan sebanyak 87.5% berbanding RM4 bilion pada 2026. Aspek keselamatan dan kemudahan pengguna lebuh raya juga tidak dilupakan, antaranya pembinaan 15 tempat berteduh motosikal, pemasangan 70 CCTV di Lebuhraya PLUS serta penyediaan 50 kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV).

“KKR akan memastikan setiap peruntukan diterjemahkan kepada hasil yang dapat dirasai oleh rakyat melalui pelaksanaan projek yang berkualiti, pemantauan kemajuan yang rapi serta pengurusan kewangan yang berintegriti. Keutamaan kementerian adalah untuk memastikan infrastruktur yang dibangunkan selamat digunakan, memenuhi keperluan masyarakat dan memberikan nilai terbaik kepada negara,” kata Nanta.