Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) WP Kuala Lumpur membuka bidaan untuk dua siri nombor pendaftaran bagi minggu ini. Ini bermakna, untuk dua minggu pertama bulan ini, JPJ WPKL sudah memperkenalkan empat siri nombor pendaftaran baharu.
Siri nombor pendaftaran berkenaan, VSA, mula dibuka bidaan hari ini, 12 Okt dan bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 16 Okt. Kebiasaanya keputusan akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 17 Okt 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.
Manakala siri kedua pula akan dibuka bidaan bermula 16 Okt ini. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 20 Okt, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 21 Okt 2026.
Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.







