Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa bagi tempoh 15 hingga 21 Oktober 2026, harga runcit bagi petrol RON 97 diturunkan sebanyak 5 sen seliter, menjadi RM5.10 seliter.
Begitu juga RON95 tanpa subsidi yang diturunkan sebanyak 5 sen seliter, menjadi RM4.62 seliter. Walau bagaimana pun, harga bersubsidi di bawah program Budi95 tetap dikekalkan pada RM1.99 seliter. Untuk Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), ia masih ditetapkan pada harga RM2.05 seliter.
Manakala harga diesel tanpa subsidi pula diturunkan sebanyak 10 sen seliter, menjadi RM5.17 seliter. Manakala diesel di bawah program subsidi Budi Diesel masih berharga RM2.10 seliter. Bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula, ia masih ditetapkan pada RM2.15 seliter.
Semua harga runcit yang dinyatakan ini berkuatkuasa pada 12 tengahmalam ini (15 Oktober) sehingga jam 11.59 malam pada 21 Oktober 2026. Ini merupakan edisi ke-43 bagi format harga minyak mingguan untuk tahun 2026, dan yang ke-346 secara keseluruhan sejak format ini diperkenalkan pada tahun 2019.
MoF berkata, walaupun harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$100 setong, bekalan produk petroleum bertapis di pasaran serantau mula menunjukkan tanda pemulihan. China telah membenarkan semula eksport bahan api bagi Oktober, manakala Korea Selatan terus membekalkan produk petroleum bertapis ke pasaran serantau. Perkembangan ini membantu meredakan tekanan terhadap bekalan.
Namun begitu, MoF menambah, konflik di Asia Barat yang semakin meluas, termasuk serangan di Arab Saudi pada minggu lalu, meningkatkan risiko gangguan bekalan dan kenaikan harga petroleum. Ketidaktentuan harga dijangka berterusan dalam jangka sederhana









