Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ Negeri Sembilan telah mengeluarkan sebanyak 2,710 saman terhadap warga asing menerusi Op Pemandu Warga Asing (PEWA) di negeri tersebut yang menunggang motosikal atau memandu kenderaan tanpa lesen sah bagi tempoh 1 Januari hingga 11 Oktober lalu. Ini termasuklah warga asing yang memandu kenderaan mewah.
Menurut Pengarah JPJ negeri, Jasyindar Singh Sidhu, dalam tempoh tersebut, sebanyak 3,741 kenderaan diperiksa sebelum 498 daripadanya diambil tindakan. Berbanding sepanjang tahun lalu, katanya, sebanyak 4,811 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 746 diambil tindakan dengan 3,588 notis dikeluarkan.
“Pada tahun 2025, warga Pakistan mencatatkan pemandu warga asing paling ramai yang diambil tindakan membabitkan 244 kenderaan dengan 1,091 notis dikeluarkan. Berbanding tahun ini, sebanyak 197 daripada 1,683 kenderaan yang diperiksa diambil tindakan dengan 888 notis dikeluarkan membabitkan warga Pakistan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Tambahnya, kawasan Sikamat di Seremban dan Nilai menjadi lokasi panas warga asing yang dikesan kerap melanggar peraturan jalan raya.
“Kebanyakan daripada mereka ini adalah warga Pakistan, Indonesia dan Bangladesh yang melakukan pelbagai kerja menggunakan kenderaan yang disita seperti motosikal roda tiga. Berdasarkan statistik pada 2025, sejumlah 374 kes membabitkan motosikal, 205 kes kereta, 121 kes kenderaan perkhidmatan awam dan 46 kes kenderaan perdagangan barangan. Bagi tempoh Januari hingga 11 Oktober tahun ini, jumlah yang direkodkan ialah 313 kes kategori motosikal, 149 kereta dan 36 kenderaan perdagangan barangan.
“Pihak kami juga mengesan kenderaan mewah yang dipandu warga asing yang melanggar peraturan jalan raya dan disita, membabitkan sebuah Toyota Velfire dipandu warga Bangladesh, dua Mercedes-Benz A250 masing-masing dipandu warga Pakistan dan China serta sebuah BMW Limousine dipandu etnik Rohingya,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan warga asing menggunakan kenderaan yang dipinjam daripada rakan atau menyewanya daripada warga tempatan.
“Semua pemilik dan pengguna kenderaan diingatkan supaya memastikan setiap kenderaan yang digunakan di jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan. Bukan sahaja warga asing, pihak kami juga akan mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan sama ada majikan atau individu persendirian yang dikesan melanggar peraturan,” tegasnya.







