Pemandu mabuk, pengaruh dadah boleh disita aset, hukuman penjara tambahan jika gagal bayar pampasan

Awal minggu ini, dilaporkan bahawa pindaan seterusnya terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) akan merangkumi peruntukan mewajibkan pemandu yang menyebabkan kemalangan ketika berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa. Pindaan ini dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun hadapan.

Bagi memastikan pampasan wajib itu benar-benar dibayar, kerajaan dilaporkan sedang merangka mekanisme untuk menyita aset serta mengenakan hukuman penjara tambahan terhadap pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah yang gagal membayar pampasan kepada mangsa kemalangan jalan raya atau keluarga mangsa yang terkorban, menurut laporan Bernama.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata langkah itu bertujuan memastikan perintah pembayaran pampasan di bawah pindaan akta berkenaan benar-benar memberikan penyelesaian yang berkesan kepada mangsa, khususnya apabila pesalah mendakwa mereka tidak mampu membayar pampasan tersebut.

Pemandu mabuk, pengaruh dadah boleh disita aset, hukuman penjara tambahan jika gagal bayar pampasan

“Di bawah peruntukan sedia ada dalam akta lain, jika pesalah tidak mampu membayar pampasan, denda yang lebih berat atau hukuman penjara tambahan boleh dikenakan. Kami juga sedang meneliti sama ada aset pesalah boleh disita bagi memastikan pampasan benar-benar dibayar kepada waris mangsa,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena), yang bertanyakan tentang langkah melindungi keluarga mangsa kemalangan jalan raya yang maut sekiranya pesalah tidak mempunyai kemampuan untuk membayar pampasan.

Sebelum ini, Loke berkata cadangan pindaan itu turut merangkumi penggabungan prosiding jenayah terhadap pesalah dengan tuntutan pampasan. Langkah ini dapat mengelakkan mangsa daripada perlu memfailkan saman sivil secara berasingan untuk menuntut ganti rugi, selain mempercepatkan proses berkenaan.

Pemandu mabuk, pengaruh dadah boleh disita aset, hukuman penjara tambahan jika gagal bayar pampasan

Turut dimaklumkan bahawa kerajaan akan meneliti mekanisme bagi memastikan jumlah pampasan tidak ditetapkan secara automatik atau secara pentadbiran oleh kerajaan, sebaliknya ditentukan oleh mahkamah berdasarkan fakta dan merit setiap kes. Ini termasuk tahap keseriusan kesalahan, kecederaan atau kehilangan nyawa, serta kerugian yang ditanggung oleh mangsa atau waris mereka.

Butiran mekanisme yang dicadangkan akan dikaji secara menyeluruh bagi memastikan pindaan yang dibuat jelas, adil dan berkesan sebelum dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan, dan seterusnya dibentangkan di Parlimen.