ECRL mula beroperasi pada 12 Disember 2026, diskaun 30% bagi tiket ekonomi selama sebulan – Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa operasi perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan bermula pada 12 Disember 2026. Dan sempena dengan pembukaan perkhidmatan rel berkenaan, para penumpang turut ditawarkan diskaun sebanyak 30% untuk tiket kelas ekonomi selama sebulan bermula hari pertama ia beroperasi.

Beliau turut berkata, diskaun itu diberikan kepada orang ramai yang tidak menikmati kadar konsesi, manakala golongan orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan pelajar kekal menerima diskaun 50%.

Menurutnya, langkah itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai menikmati perkhidmatan ECRL pada kadar lebih rendah sepanjang bulan pertama operasinya, laporan Harian Metro.

“ECRL dijangka memulakan perkhidmatan pada 12 Disember ini. Jadi kita akan memulakan penjualan tiket tidak lama lagi dan bagi bulan pertama ini, orang ramai akan menikmati diskaun 30@,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Transport Expo Asia (TXA), di MITEC, KL.

Semalam, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah mengumumkan kadar tambang bagi ECRL, di mana ia bermula RM125 bagi perkhidmatan Transit Kelas Ekonomi untuk perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu sejauh 523 km. Manakala bagi tambang perkhidmatan Ekspres pula ditawarkan bermula RM147.

Bagi pengguna yang memilih perkhidmatan Transit dari Gombak ke Kuala Terengganu dan Kota Sultan Ahmad Shah (KotaSAS), masing-masing akan dikenakan tambang permulaan RM95 dan RM60.

Manakala bagi perkhidmatan Ekspres, tambang perjalanan Gombak ke Kuala Terengganu pula bermula RM110 dan perjalanan ke KotaSAS ditawarkan pada kadar bermula RM68. Kadar tambang permulaan yang sama turut terpakai bagi perjalanan arah sebaliknya.

Klik untuk besarkan

Selain itu, MRL turut berkata, diskaun sebanyak 50% diluluskan untuk kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) serta pesara Kerajaan. Manakala pelajar berumur 13 hingga 24 tahun pula akan menikmati diskaun sebanyak 40%.

ECRL akan menyediakan 12 perjalanan sehari dari Isnin hingga Khamis, melibatkan enam perjalanan bagi setiap arah. Kekerapan perkhidmatan akan ditingkatkan kepada 16 perjalanan sehari dari Jumaat hingga Ahad, bersamaan lapan perjalanan bagi setiap arah. Secara keseluruhan, sekitar 2.2 juta tempat duduk dirancang untuk disediakan sepanjang
tahun 2027.

Perjalanan Ekspres dari Gombak ke Kota Bharu dijadualkan mengambil masa sekitar empat jam, manakala Transit mengambil masa sehingga lima jam. Perjalanan Ekspres Gombak–Kuala Terengganu dijadualkan mengambil masa dua jam 54 minit, berbanding tiga jam 51 minit bagi Transit. Bagi laluan Gombak–KotaSAS pula, perjalanan Ekspres dijangka mengambil masa satu jam 27 minit, berbanding dua jam 5 minit melalui Transit.