Bagi yang ingin menyaksikan Petronas Grand Prix of Malaysia 2026 yang bakal berlangsung pada 30 Oktober hingga 1 November ini, Rapid KL telah memaklumkan sebanyak 85 buah bas akan disediakan untuk ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Syahrul Azmir Ahmad Zaki berkata perkhidmatan bas khas tersebut disediakan bagi memenuhi keperluan mobiliti pengunjung sepanjang acara.
“Setiap tahun, peminat sukan permotoran dari pelbagai lokasi akan berkumpul di Sepang untuk merasai sendiri kemeriahan perlumbaan bertaraf dunia ini. Rapid KL berharap perkhidmatan yang disediakan dapat membantu menjadikan perjalanan mereka ke litar lebih mudah dan selesa,” katanya.
Menurut Rapid KL, perkhidmatan ini akan beroperasi dari lokasi utama terpilih ke SIC iaitu Pasar Seni, KLCC can KLIA Terminal 2. Kadar tambang bagi perkhidmatan bas adalah seperti berikut:
Untuk waktu perjalanan pergi ke SIC, bas pertama akan bergerak pada jam 7 pagi untuk hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Manakala bas terakhir pula akan bergerak jam 1 tengahari pada ketiga-tiga hari berkenaan.
Manakala untuk perjalanan pulang dari SIC, bas pertama akan bertolak pada jam 4 petang, manakala bas terakhir pula jam 7 malam. Kekerapan ketibaan bas adalah setiap 30 minit tetapi tertakluk pada keadaan trafik semasa.
Tambahnya, Rapid KL juga akan bekerjasama SIC untuk menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma di sekitar litar sepanjang tempoh acara berlangsung.
Kesemua bas yang terlibat akan menjalani pemeriksaan keselamatan serta dipantau secara berterusan sepanjang tempoh perkhidmatan. Petugas Rapid KL turut ditempatkan di lokasi strategik bagi membantu pelanggan dan mengurus pergerakan penumpang.
Bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar dan mengelakkan tempoh menunggu yang panjang pada hari acara, para pengunjung disaran membuat pembelian tiket lebih awal.
Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan bas khas ini, termasuk jadual perjalanan dan pembelian tiket, boleh didapati menerusi laman web rasmi MyRapid, aplikasi MyRapid PULSE serta saluran media sosial rasmi Rapid KL.









