JPJ Johor keluarkan 7,804 saman berkaitan VEP tahun ini, jumlah lebih RM1 juta setakat ini

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor telah mengeluarkan sebanyak 7,804 saman berkaitan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) dari Januari hingga 18 Oktober lalu, menurut laporan Bernama. Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin, berkata jumlah itu direkodkan hasil pemeriksaan terhadap 120,740 kenderaan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

Bagaimanapun, beliau berkata kadar ketidakpatuhan dalam kalangan pemandu kenderaan asing masih rendah berbanding jumlah keseluruhan kenderaan yang diperiksa. Dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini, beliau turut memaklumkan bahawa van bergerak JPJ telah ditempatkan di BSI dan KSAB sejak awal bulan ini bagi memudahkan urusan pembayaran saman.

Menurut Zulkarnain, setakat ini tiada kenderaan asing yang dihalang daripada meninggalkan negara melalui kedua-dua pintu masuk berkenaan kerana gagal menjelaskan saman. Beliau berkata langkah penguatkuasaan itu bertujuan mengelakkan saman daripada terus terkumpul, selain memastikan pemilik kenderaan membuat pembayaran serta-merta.

JPJ Johor keluarkan 7,804 saman berkaitan VEP tahun ini, jumlah lebih RM1 juta setakat ini

“Penguatkuasaan kami adalah untuk mengelakkan saman daripada terkumpul. Secara automatik, mereka (pemilik kenderaan) perlu membayar saman di tempat kejadian, sebab itu kami turut menyediakan pasukan bergerak,” katanya.

Walaupun penguatkuasaan penuh VEP yang menggunakan teknologi pengecaman frekuensi radio (RFID) telah bermula sejak Julai 2025, masih terdapat pemilik kenderaan asing yang mendakwa tidak mengetahui tentang keperluan tersebut. Bagaimanapun, Zulkarnain menegaskan bahawa alasan berkenaan tidak akan diterima oleh pihak JPJ.