Cadangan naikkan had umur minimum lesen motosikal dari 16 kepada 18 tahun perlu diteliti – Loke

Kerajaan perlu meneliti secara menyeluruh berhubung cadangan menaikkan had umur minimum bagi mendapatkan lesen motosikal daripada 16 kepada 18 tahun sebelum sebarang keputusan dibuat, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Katanya, langkah itu mempunyai kebaikan dan keburukan, termasuk risiko lebih ramai remaja menunggang motosikal tanpa lesen sah, laporan Berita Harian.

“Perkara ini sedang dikaji, tetapi setakat ini, belum ada keputusan berhubung had umur berkenaan. Kita pernah membincangkan perkara ini beberapa tahun lalu. Namun, terdapat kebaikan dan keburukannya. Jika kita menaikkan had umur untuk mendapatkan lesen motosikal, pelajar sekolah menengah tidak lagi boleh mendapatkan lesen.

“Ini juga boleh menimbulkan masalah kerana lebih ramai mungkin menunggang motosikal tanpa lesen yang sah. Jadi, perkara ini bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dengan mudah hanya dengan menaikkan had umur,” katanya.

Cadangan naikkan had umur minimum lesen motosikal dari 16 kepada 18 tahun perlu diteliti – Loke

Baru-baru ini, Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Prof Dr Wong Shaw Voon mencadangkan supaya had umur minimum untuk mengambil lesen motosikal dinaikkan kepada 18 tahun selaras dengan usaha membendung masalah kegiatan lumba haram dalam kalangan bawah umur.

Katanya, isu penunggang motosikal bawah umur perlu diberi perhatian serius memandangkan terdapat kanak-kanak seawal usia 12 tahun sudah menunggang motosikal tanpa lesen.

Loke turut berkata, isu penunggang motosikal bawah umur perlu dipertimbangkan secara serius kerana kegiatan itu sudah berlaku walaupun had umur minimum mendapatkan lesen ketika ini ialah 16 tahun.

“Malah, pada usia minimum 16 tahun ketika ini, sudah ada pelajar berusia 13 atau 14 tahun yang menunggang motosikal tanpa lesen. Jadi kita akan mempertimbangkan isu ini secara serius,” katanya.