Lebuhraya KL-Karak, LPT1 catat 3,000 transaksi pencerobohan setahun, kerugian lebih RM20,000

Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) merekodkan kira-kira 3,000 transaksi pencerobohan setahun atau purata lapan kes sehari, dengan kerugian lebih RM20,000 setahun akibat aktiviti pencerobohan tol yang berterusan, laporan Harian Metro.

Menurut Ismaliza Ibrahim, selaku Pengurus Besar AFA Systems and Services Sdn Bhd, syarikat pengendali dan pemegang konsesi kedua-dua lebuhraya terbabit, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi merangka serta melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu bermula 3 hingga 5 pagi di Plaza Tol Karak. Ia bertujuan mengesan, membendung dan mengurangkan kesalahan mengekor rapat serta pencerobohan laluan tol di sepanjang rangkaian lebuh raya berkenaan.

“Berdasarkan maklumat kami, kenderaan Kelas 1 menjadi kumpulan terbesar melanggar aturan pembayaran tol, iaitu sebanyak 95%, diikuti kenderaan Kelas 2 (1.9%) dan Kelas 3 (1.3%). Kaedah utama yang sering digunakan penceroboh adalah dengan mengekor rapat kenderaan di hadapan bagi melepasi palang tol, yang menyumbang hingga 63%,” katanya.

Lebuhraya KL-Karak, LPT1 catat 3,000 transaksi pencerobohan setahun, kerugian lebih RM20,000

Tambahnya, fokus operasi tertumpu kepada 37 kenderaan tegar pelbagai kelas yang dikenal pasti kerap melakukan pelanggaran berulang di Plaza Tol Karak, membabitkan kerugian kumulatif RM10,600.

“Antara rekod pencerobohan tegar tertinggi yang dikesan melibatkan kerugian RM771.50 menerusi 27 kali pelanggaran oleh sebuah kenderaan, manakala sebuah lagi kenderaan merekodkan frekuensi pencerobohan tertinggi, iaitu 44 kali dengan jumlah kerugian RM350.10,” katanya.

Beliau berkata langkah tegas itu bukan sahaja berhasrat mengutip semula tunggakan hasil, malah bertujuan mendidik pengguna lebuh raya mengenai kepatuhan pembayaran tol dan implikasi undang-undang yang boleh dikenakan.

“Di bawah Seksyen 8 Akta Jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) 1984, individu yang disabitkan kesalahan menceroboh tol boleh dikenakan denda tidak kurang RM2,000 dan tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara hingga satu tahun,” katanya.