Lorong kenderaan berat di Plaza Tol Kota Damansara ditutup pada 23-25 Okt, 10 malam-12 tengahari – PLUS

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa lorong kenderaan berat dan lebar di Plaza Tol Kota Damansara akan ditutup bagi kelancaran kerja-kerja pembaikan turapan konkrit.

Ia melibatkan lorong masuk M01 yang akan ditutup pada jam 10 malam, 23 Okt hingga 12 tengahari pada 24 Okt. Manakala lorong keluar K11 pula akan ditutup mulai jam 10 malam pada 24 Okt hingga 12 tengahari, 25 Okt.

“Sehubungan dengan itu, lorong M01 dan lorong K11 ini akan ditutup sepenuhnya mengikut jadual yang ditetapkan bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan dengan selamat.

“Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan, gunakan lorong alternatif dan patuhi papan tanda trafik serta arahan petugas di lokasi bagi memastikan kelancaran perjalanan,” kata PLUS menerusi perkongsian di Facebook rasminya.