KTM 990 RC R dan 1390 Super Adventure dalam tiga varian dilancarkan di Malaysia, harga dari RM113,000

KTM Malaysia melancarkan empat model motosikal berprestasi tinggi untuk pasaran tempatan, merangkumi model supersport KTM 990 RC R serta tiga varian motosikal kembara KTM 1390 Super Adventure S, 1390 Super Adventure R dan 1390 Super Adventure S Evo. Kesemua model ini dibawa masuk oleh Eurotech Group (ETG), pengimport dan pengedar rasmi KTM di Malaysia, dengan harga bermula RM113,000.

KTM 990 RC R ditawarkan pada harga asas jualan (BSP) RM113,000, manakala KTM 1390 Super Adventure hadir dalam tiga varian, bermula dengan S yang dijual pada harga RM144,000, R berharga RM146,500, dan S Evo yang dilengkapi teknologi transmisi automatik ditawarkan pada harga RM153,000. Semua harga tersebut termasuk waranti empat tahun tanpa had perbatuan.

KTM 990 RC R merupakan motosikal supersport yang dibangunkan dengan inspirasi daripada jentera perlumbaan KTM RC16 MotoGP, tetapi masih mematuhi keperluan untuk kegunaan jalan raya. Ia menggunakan enjin dua silinder selari LC8c berkapasiti 947 cc yang menghasilkan kuasa 127.84 PS dan tork 103 Nm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi enam kelajuan untuk menyalurkan kuasa ke roda belakang.

Dari segi aerodinamik, 990 RC R dilengkapi sayap kecil bersepadu pada bahagian badan yang dibangunkan melalui ujian terowong angin. KTM mendakwa komponen tersebut mampu menghasilkan daya tolak ke bawah sehingga 14.4 kg pada kelajuan 252 km/j, sekaligus membantu meningkatkan kestabilan bahagian hadapan ketika ditunggang laju. Sistem suspensi menggunakan komponen WP APEX yang boleh dilaraskan sepenuhnya, manakala sistem brek Brembo HyPure dengan angkup empat piston digunakan untuk memberikan kuasa membrek.

Kelengkapan elektronik merangkumi sistem ABS dengan empat mod, unit pengukuran inersia six axis (6D IMU) serta mod tunggangan Street, Rain, Sport dan Custom yang boleh disesuaikan mengikut keperluan. Kokpit pula menempatkan skrin sesentuh TFT berwarna berukuran 8.8 inci untuk memaparkan maklumat tunggangan dan tetapan motosikal. KTM turut memanjangkan sela penyelenggaraan kelegaan injap (VC) kepada 30,000 km, berbanding 15,000 km sebelum ini.

Pergi kepada 1390 Super Adventure, ketiga-tiga varian menggunakan enjin v-twin 75 darjah berkapasiti 1,350 cc dengan penyejukan cecair dan teknologi Camshift, yang membolehkan pemasaan serta angkatan injap berubah mengikut putaran enjin. Bagi varian Super Adventure S dan S Evo, enjin ini menghasilkan kuasa 173 PS dan tork 145 Nm, manakala Super Adventure R dinyatakan menghasilkan 175 PS dan tork 145 Nm dalam maklumat pelancaran KTM Malaysia.

KTM 990 RC R dan 1390 Super Adventure dalam tiga varian dilancarkan di Malaysia, harga dari RM113,000

Super Adventure S dan R menggunakan transmisi manual enam kelajuan, sementara Super Adventure S Evo tampil berbeza menerusi sistem transmisi manual automatik (Automated Manual Transmission atau AMT). Sistem ini menguruskan operasi klac secara automatik ketika mula bergerak, berhenti dan menukar gear. Penunggang masih boleh memilih pertukaran gear secara manual atau menggunakan mod automatik sepenuhnya mengikut kesesuaian tunggangan.

KTM 1390 Super Adventure S ditujukan kepada penunggang yang mengutamakan perjalanan jarak jauh di atas jalan raya, dengan keupayaan meredah laluan tidak berturap apabila diperlukan. Model ini menggunakan suspensi separa aktif WP Semi-Active Technology (SAT) yang melaraskan tindak balas mengikut keadaan tunggangan. Cermin penghadang angin turut ditambah baik dengan pelarasan tambahan 15 mm, manakala lampu utama LED baru dilengkapi lampu selekoh untuk meningkatkan penglihatan ketika mengambil selekoh.

Bagi Super Adventure R, tumpuan diberikan kepada keupayaan meredah laluan offroad yang lebih mencabar. Ia menggunakan suspensi WP XPLOR dengan jarak gerak 240 mm di hadapan dan belakang, berbanding 220 mm bagi varian S. Model ini turut menerima rim spoked tanpa tiub berukuran 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, bersama tayar berorientasikan offroad. Tempat duduk satu bahagian serta cermin penghadang angin lebih rendah turut disediakan bagi memberikan kebebasan pergerakan kepada penunggang ketika melalui permukaan tidak rata.

KTM 990 RC R dan 1390 Super Adventure dalam tiga varian dilancarkan di Malaysia, harga dari RM113,000

Sementara itu, Super Adventure S Evo menggabungkan ciri pengembaraan jarak jauh dengan teknologi bantuan tunggangan yang lebih canggih. Selain suspensi separa aktif WP SAT dan transmisi AMT, model ini dilengkapi radar hadapan generasi kelima daripada Bosch serta sistem kawalan jelajah adaptif (Adaptive Cruise Control atau ACC) sebagai kelengkapan standard.

Ketiga-tiga varian menggunakan brek cakera berkembar 320 mm di hadapan dengan angkup Brembo empat piston radial, selain cakera belakang 267 mm dengan angkup dua piston. Perbezaan utama terletak pada sistem suspensi dan roda – varian S dan S Evo menggunakan rim aluminium 19 inci di hadapan serta 17 inci di belakang, manakala varian R menggunakan roda jejari 21 inci dan 18 inci untuk keupayaan offroad lebih baik.

KTM 990 RC R dan 1390 Super Adventure dalam tiga varian dilancarkan di Malaysia, harga dari RM113,000

Dari segi dimensi, Super Adventure S dan S Evo mempunyai ketinggian tempat duduk boleh laras antara 847 mm hingga 867 mm, kapasiti tangki bahan api 23 liter serta berat tanpa bahan api sekitar 227 kg. Super Adventure R pula mempunyai tempat duduk setinggi 880 mm, tangki 23 liter dan berat tanpa bahan api 231 kg. Perbezaan ini mencerminkan fokus setiap varian, khususnya R yang direka untuk menghadapi permukaan lebih mencabar.

Kesemua model Super Adventure menerima paparan skrin sesentuh TFT berwarna berorientasikan potret berukuran 8.8 inci, yang memaparkan maklumat motosikal, tetapan elektronik dan navigasi peta luar talian. KTM turut memanjangkan sela pemeriksaan kelegaan injap kepada 60,000 km, berbanding 30,000 km sebelum ini.

GALERI: KTM 990 RC R

GALERI: KTM 1390 Super Adventure S

GALERI: KTM 1390 Super Adventure S EVO

GALERI: KTM 1390 Super Adventure R