Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menawarkan perkhidmatan tren tambahan bagi perkhidmatan ETS dan EMUPlus sempena dengan sambutan perayaan Deepavali tidak lama lagi. Ia bertujuan bagi memenuhi peningkatan permintaan perjalanan serta memberikan lebih banyak pilihan kepada penumpang yang ingin pulang ke kampung halaman atau merancang perjalanan bersama keluarga.

Bagi tempoh 5 hingga 9 November 2026, KTMB akan menawarkan dua perkhidmatan ETS tambahan setiap hari bagi laluan Padang Besar-KL Sentral-Padang Besar, selain empat perkhidmatan ETS tambahan setiap hari bagi laluann JB Sentral-KL Sentral-JB Sentral mulai 6 hingga 9 November 2026.

“Bagi laluan Padang Besar-KL Sentral-Padang Besar, sebanyak 3,160 tempat duduk tambahan ditawarkan, termasuk kemudahan koc kelas perniagaan, disediakan sepanjang lima hari pengoperasian. Penjualan tiket bagi perkhidmatan ini akan dibuka mulai esok, 27 Oktober 2026 (Selasa), mulai jam 12 tengah hari.

“Sementara itu, bagi laluan JB Sentral-KL Sentral-JB Sentral, KTMB menyediakan sebanyak 5,056 tempat duduk tambahan menerusi empat perkhidmatan ETS setiap hari dari 6 hingga 9 November 2026. Penjualan tiket bagi laluan ini telah dibuka lebih awal iaitu sejak 7 September 2026,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

KTMB juga akan turut menyediakan empat perkhidmatan EMUPlus tambahan mengikut tarikh operasi yang ditetapkan bagi menampung keperluan perjalanan penumpang ke Ipoh sepanjang musim perayaan tersebut.

KTMB tawar perkhidmatan tambahan ETS dan EMUPlus sempena Deepavali, perjalanan antara 5-9 Nov 2026

Sebanyak 3,672 tempat duduk akan ditawarkan menerusi perkhidmatan EMUPlus yang melibatkan laluan Bandar Tasek Selatan-Ipoh-Klang dan sebaliknya, pada tarikh-tarikh tertentu antara 5 hingga 9 November 2026. Penjualan tiket bagi perkhidmatan ini juga akan dibuka mulai esok.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 11,888 tempat duduk tambahan ditawarkan menerusi perkhidmatan ETS dan EMUPlus, sekali gus meningkatkan kapasiti perjalanan antara bandar bagi memenuhi keperluan penumpang sepanjang tempoh perayaan.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan KTMB dalam meningkatkan kapasiti perkhidmatan pengangkutan rel, khususnya ketika musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan permintaan perjalanan antara bandar. Diharapkan perkhidmatan tambahan ini dapat memberikan perjalanan yang lebih lancar, selesa dan selamat kepada para pengguna,” kata KTMB lagi

Para pengguna boleh mendapatkan tiket melalui aplikasi KTMB Mobile, KITS Style atau laman sesawang rasmi KTMb (www.ktmb.com.my) bagi pembelian tanpa tunai yang lebih mudah dan pantas.

Selain itu, para pengguna juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksi yang lebih menjimatkan serta mengelakkan pembelian pada saat akhir. Para pengguna juga diingatkan untuk tiba 30 minit lebih awal di stesen, kerana pintu masuk akan ditutup lima minit sebelum tren berlepas.