Automotive High-Tech Valley – pelaburan RM7 bilion direalisasi sejak 2018, tenaga kerja kini 9,300 orang

Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Perak mencatatkan pelaburan berjumlah RM7 bilion sejak 2018, dengan jumlah tenaga kerjanya meningkat kepada 9,300 orang setakat tahun ini – lapor The Star.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, pelaburan yang direalisasikan itu adalah termasuk dengan sumbangan daripada Geely. Jumlah tersebut mewakili 23.3% daripada anggaran keseluruhan pelaburan sebanyak RM30 bilion bagi pembangunan AHTV sehingga 2035.

Menurut beliau, jumlah tenaga kerja di AHTV juga meningkat daripada kira-kira 2,000 orang pada 2018 kepada 9,300 orang tahun ini. Angka itu dijangka terus bertambah kepada 22,800 orang menjelang 2030, seiring perkembangan ekosistem automotif di kawasan berkenaan.

Automotive High-Tech Valley – pelaburan RM7 bilion direalisasi sejak 2018, tenaga kerja kini 9,300 orang

Sim menjelaskan bahawa anggaran pelaburan RM30 bilion itu merangkumi pelaburan yang telah direalisasikan, projek yang sedang berjalan serta pembangunan yang dirancang pada masa hadapan. Beliau memberikan penjelasan tersebut ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, sambil menegaskan bahawa angka berkenaan bukan jumlah pelaburan yang telah direalisasikan sepenuhnya.

Dalam pada itu, jumlah syarikat yang beroperasi dalam ekosistem AHTV meningkat daripada 11 buah pada 2022 kepada 35 buah tahun ini. Syarikat terbabit merangkumi pembekal komponen automotif dan penyedia perkhidmatan logistik yang menyokong aktiviti pembuatan serta rantaian bekalan industri.

Antara projek utama yang telah disiapkan ialah penaiktarafan kemudahan pembuatan Proton di Tanjong Malim, termasuk peningkatan kapasiti pengeluaran serta keupayaan dalam proses pengecapan logam, pengecatan, pemasangan badan kenderaan dan pemasangan akhir. Kemudahan pengeluaran enjin dan transmisi generasi baharu turut dibangunkan sebagai sebahagian daripada usaha tersebut.

Automotive High-Tech Valley – pelaburan RM7 bilion direalisasi sejak 2018, tenaga kerja kini 9,300 orang

Selain itu, kompleks pembuatan Proton dilengkapi ladang solar berkapasiti puncak 12 megawatt (MWp) bagi meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga. Langkah ini turut menjadi sebahagian daripada pembangunan kemudahan pembuatan yang lebih cekap untuk menyokong operasi automotif di AHTV.

Sim berkata, kejayaan jangka panjang AHTV tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah pelaburan atau kapasiti pengeluaran kenderaan semata-mata. Sebaliknya, pembangunan kawasan itu perlu turut memperkukuh keupayaan teknologi syarikat tempatan, meningkatkan penggunaan komponen buatan Malaysia, mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import serta memperluas eksport produk automotif bernilai tinggi.

AHTV dilancarkan oleh DRB-Hicom pada 12 April 2022 sebagai projek berimpak tinggi yang disasarkan untuk memperkukuh industri automotif negara. Pembangunan jangka panjangnya dijangka terus membuka peluang kepada pelaburan baru serta memperluas peranan Malaysia dalam rantaian bekalan automotif global.