Puspakom Bangi hanya tawarkan perkhidmatan untuk kenderaan persendirian sahaja mulai 2 Nov 2026

Puspakom memaklumkan bahawa cawangannya di Bangi hanya akan menawarkan perkhidmatan pemeriksaan bagi kenderaan persendirian sahaja mulai 2 November 2026. Ini bermakna cawangan terbabit tidak lagi menawarkan pemeriksaan bagi kenderaan komersial.

Menurut Puspakom, hanya dua perkhidmatan sahaja yang akan ditawarkan di cawangan Bangi iaitu Pemeriksaan Tukar Hak Milik (MV15) dan Pemeriksaan Khas (B2), kedua-duanya untuk kenderaan persendirian sahaja.

Bagi perkhidmatan selain yang dinyatakan itu, pelanggan boleh membuat temu janji di cawangan Puspakom yang lain, seperti Kajang dan Banting, dan boleh membuat tempahan slot melalui GiCheck, kata Puspakom.

Cawangan Puspakom yang terhampir dengannya ialah Puspakom Kajang yang mula beroperasi pada awal bulan ini. Ia merupakan cawangan Puspakom yang terbesar di Malaysia dan mampu menampung pemeriksaan sehingga 800 kenderaan sehari. Pemeriksaan rutin bagi kenderaan komersial ringan akan bermula di pusat tersebut esok (28 Oktober), manakala perkhidmatan penuh, termasuk pemeriksaan awal dan pemeriksaan semula, akan tersedia mulai 23 November.

Terletak di Jalan P4/13, Bandar Teknologi Kajang, Puspakom Kajang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang pada setiap hari Isnin hingga Jumaat.