Selepas tujuh tahun menunggu, pelanggan di Australia dan New Zealand yang menempah Tesla Cybertruck terpaksa melupakan terus untuk memiliki trak pikap EV berkenaan apabila ia disahkan tidak akan dijual di kedua-dua negara tersebut.
Tesla memberitahu perkara ini kepada pelanggan yang sudah menempah model tersebut dengan deposit sebanyak AUD150 (sekitar RM431) menerusi satu surat. Tempahan tersebut dibuka pada November 2019, sebaik sahaja trak pikap itu didedahkan dalam versi prototaip. Versi produksi Tesla Cybertruck pula hanya muncul dalam pasaran pada Disember 2023.
“Setelah pertimbangan yang teliti dibuat, rancangan untuk menghasilkan Cybertruck bagi pasaran Australia dan New Zealand telah dibatalkan. Oleh itu, kami tidak dapat memenuhi tempahan anda dan tempahan tersebut akan dibatalkan,” tulis Tesla dalam satu surat yang telah tersebar luas di media sosial.
“Anda akan menerima bayaran balik penuh bagi semua pembayaran yang telah dibuat. Kami faham bahawa ini mungkin berita yang mengecewakan dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul,” tambah kandungan surat itu lagi.
Sebagai satu bentuk pampasan, Tesla Australia menyatakan bahawa mereka menawarkan langganan percuma selama setahun untuk ciri Full Self-Driving (Supervised) kepada pelanggan sekiranya mereka membuat tempahan bagi model Model 3 atau Model Y. Perincian tersebut bernilai AUD149 (RM428) sebulan, jadi ia akan memberikan manfaat berjumlah AUD1,788 (RM5,137) kepada pelanggan.
Buat masa sekarang laman web Tesla Australia tidak lagi menyenaraikan Cybertruck mahupun Roadster baharu. Namun kedua-dua model berkenaan boleh dilihat di laman web Tesla untuk pasaran Malaysia.
Tesla Cybertruck hanya dihasilkan dalam konfigurasi pemanduan sebelah kiri (LHD) dan sehingga kini ia tidak dijual di mana-mana pasaran yang menggunakan pemanduan sebelah kanan (RHD). Dengan pembatalan jualan untuk pasaran Australia dan New Zealand, harapan untuk pasaran RHD lain termasuk Malaysia juga tipis untuk menerima trak EV ini. Trak ini pernah dipamerkan di Malaysia pada April 2024.









