Kerajaan memperuntukkan RM250k untuk naiktaraf jalan di Bukit Jalil – Bandar Madani akan dibina secara berfasa

Penduduk Bukit Jalil yang selama ini membantah projek Bandar Madani di kawasan kejiranan mereka, yang melibatkan pembinaan 17,000 unit kediaman, pastinya kecewa apabila projek itu disebut-sebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2027 baru-baru ini. Lebih mengejutkan, pendaftaran bagi unit kediaman di bandar baharu yang bakal dibangunkan itu turut dibuka dalam tempoh yang singkat.

Walau pun penduduk menyuarakan bantahan, namun projek Bandar Madani Bukit Jalil tetap akan diteruskan. Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memaklumkan kepada Parlimen bahawa projek tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 15 tahun.

Bagaimanapun, terdapat sedikit kelegaan buat penduduk sedia ada apabila kerajaan kini sedang dalam proses memperuntukkan RM250 juta bagi menaik taraf jalan raya dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

Nga berkata peruntukan itu akan digunakan untuk menaik taraf jalan raya sedia ada, membina jalan raya baharu empat lorong serta membina dua buah jambatan bagi melancarkan aliran trafik. Maklumat lanjut mengenai lokasi dan skop sebenar projek naik taraf tersebut masih belum diumumkan. Kita perlu menunggu penjelasan lanjut daripada pihak kerajaan.

Kerajaan memperuntukkan RM250k untuk naiktaraf jalan di Bukit Jalil – Bandar Madani akan dibina secara berfasa

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata bahawa Penilaian Impak Trafik (TIA), Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) yang menyeluruh akan dijalankan. Projek itu juga telah memperoleh kelulusan perintah pembangunan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas melalui proses perbincangan teknikal dengan agensi berkaitan, termasuk PLANMalaysia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Projek ini dirancang khusus bagi memastikan rakyat bukan sahaja memiliki rumah, malah turut menikmati kualiti hidup yang tinggi,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat. Beliau menjelaskan bahawa Bukit Jalil dipilih kerana lokasinya yang strategik serta mempunyai jaringan perhubungan yang sangat baik dengan kemudahan infrastruktur awam.

Ramai mengetahui hakikat ini, sebab itulah Bukit Jalil berkembang menjadi antara kawasan tumpuan hartanah utama di Lembah Klang. Kawasan itu berubah daripada kurang mendapat perhatian kepada berkembang pesat selepas pengumuman pembangunan Pavilion Bukit Jalil kira-kira sedekad lalu. Harga kondominium, khususnya yang terletak berhampiran taman, kini mencecah paras yang sebelum ini hanya dilihat di pusat bandar Kuala Lumpur.

Selain kawasan perumahan, bandar yang mengamalkan konsep “bandar yang boleh diterokai dengan berjalan kaki dalam masa 15 minit” itu turut merangkumi sebuah “vertical school” yang menggabungkan pendidikan prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah dalam satu kompleks. Kemudahan lain termasuk sebuah klinik kesihatan serta Hab Madani yang menyediakan ruang untuk penjaja, pondok polis, dewan serbaguna, kawasan perkhidmatan komuniti, surau, kemudahan pengangkutan dan perhentian bas.