Mazda membuat kemas kini untuk Mazda3 dan CX-30 di pasaran Jepun, dengan perubahan utama melibatkan penggunaan enjin hibrid ringkas (mild hybrid) baru yang sebelum ini digunakan buat pertama kali pada CX-5 generasi terkini.
Enjin baru daripada keluarga e-Skyactiv G ini merupakan unit petrol empat silinder sebaris 2.5 liter NA yang dipadankan dengan sistem hibrid ringkas 24-volt M Hybrid. Ia menghasilkan 179 PS pada 6,000 rpm serta 238 Nm tork antara 3,750 hingga 4,000 rpm.
Sistem tersebut turut menggunakan integrated starter generator (ISG) kod MK yang menggantikan fungsi alternator dan motor penghidup konvensional. Unit itu menjana 6.5 PS dan 60.5 Nm, sekaligus memberikan bantuan tork ketika kereta mula bergerak, selain membolehkan sistem i-Stop beroperasi dengan lebih lancar serta membekalkan kuasa kepada beberapa sistem sokongan lain.
Sebenarnya, sistem M Hybrid bukanlah sesuatu yang baru untuk kedua-dua model ini. Sebelum ini, Mazda3 dan CX-30 di Jepun ditawarkan dengan enjin e-Skyactiv G 2.0 liter kod PE-VPH yang turut dipadankan dengan sistem hibrid ringkas. Enjin tersebut menghasilkan 156 PS pada 6,000 rpm dan 199 Nm tork pada 4,000 rpm, manakala ISG kod MJ pula menjana 6.9 PS serta 49 Nm.
Seiring dengan pengenalan penggerak baru itu, Mazda turut menyusun semula varian bagi memudahkan pilihan pelanggan. Bagi Mazda3, varian 15C yang sebelum ini hanya ditawarkan kepada pelanggan korporat kini boleh dibeli oleh pengguna persendirian, melengkapkan penawaran bersama varian 15S.
Kedua-duanya hanya ditawarkan dalam bentuk hatchback dan menggunakan enjin petrol Skyactiv-G 1.5 liter NA yang menghasilkan 111 PS dan 146 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan yang memacu roda hadapan.
Turut ditawarkan untuk versi hatchback ialah varian 25S dan 25L yang menggunakan enjin 2.5 liter, dengan pilihan pacuan roda hadapan atau semua roda, selain pilihan transmisi manual atau automatik enam kelajuan.
Bagi pelanggan yang mahukan teknologi enjin lebih canggih, Mazda turut menawarkan varian X Touring yang menggunakan enjin e-Skyactiv X dengan teknologi SPCCI (Spark Controlled Compression Ignition). Enjin berkod HF-VPH itu menghasilkan 190 PS dan 240 Nm, manakala ISG yang digunakan adalah sama seperti unit MK pada enjin 2.5 liter baru. Varian ini hanya ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda, tetapi masih mengekalkan pilihan transmisi manual atau automatik enam kelajuan.
Untuk versi sedan pula, penawarannya lebih ringkas dengan hanya dua varian, iaitu 20S yang menggunakan enjin PE-VPH 2.0 liter serta 25L dengan enjin PY-VPH 2.5 liter baru. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan dan pacuan roda hadapan.
Sementara itu, CX-30 kini hanya ditawarkan dengan dua pilihan enjin e-Skyactiv G. Varian 20C yang sebelum ini eksklusif untuk pelanggan korporat turut dibuka kepada pembeli persendirian dan menyertai varian 20S, 20G serta 20 Air Edition. Kesemuanya menggunakan enjin PE-VPH 2.0 liter bersama transmisi automatik enam kelajuan dan pacuan roda hadapan.
Bagi varian lebih tinggi iaitu 25L dan 25 Air Edition, Mazda membekalkannya dengan enjin PY-VPH 2.5 liter baru. Kedua-duanya hanya ditawarkan bersama transmisi automatik enam kelajuan, dengan pilihan sama ada pacuan roda hadapan atau semua roda. Selain aspek mekanikal, sistem bantuan pemandu (ADAS) turut dipertingkat bagi kedua-dua model ini.
Antara penambahbaikan yang diberikan ialah fungsi amaran ketika membuka pintu apabila terdapat kenderaan di titik buta, pengecaman had laju untuk Mazda Radar Cruise Control (MRCC), bantuan mengekalkan lorong ketika kecemasan serta sistem lampu hadapan LED adaptif yang telah dipertingkatkan.
Sistem Smart Brake Support pula kini menerima beberapa fungsi baru termasuk mitigasi pelanggaran dengan kenderaan dari arah bertentangan, bantuan mengelakkan kemalangan di persimpangan, bantuan mengelakkan pelanggaran ketika membelok ke kanan, pengesanan objek yang menghampiri dari hadapan serta keupayaan mengesan motosikal.
Kemas kini lain merangkumi dua pilihan warna baru iaitu Aero Gray Metallic dan Zinc Green Metallic, selain penambahan ciri pengudaraan tempat duduk hadapan, paparan kamera 360 darjah dengan fungsi pandangan lutsinar serta lampu peta LED yang kini menjadi kelengkapan standard untuk varian tertentu.
Di Jepun, harga Mazda3 Fastback bermula dari 2.365 juta yen hingga 4.092 juta yen (sekitar RM59,000 hingga RM102,000). Mazda3 Sedan pula ditawarkan pada harga antara 2.75 juta yen (sekitar RM69,000) hingga 3.267 juta yen (sekitar RM82,000), manakala CX-30 dijual pada harga antara 2.64 juta yen dan 3,756,500 yen, bersamaan kira-kira RM66,000 hingga RM94,000.












Mazda CX-30
dari RM122,409
Mazda BT-50
dari RM140,418
Mazda CX-60
dari RM200,510
Mazda CX-80
dari RM296,610
Mazda MX-5
dari RM294,154
Mazda CX-5
dari RM134,469
Mazda CX-8
dari RM165,360
Mazda 3 Sedan
dari RM119,620
Mazda 3 Hatchback
dari RM119,620