BMW iX3 50 xDrive 2026 dilancar di Indonesia – 895 km ikut WLTP, dari RM512k; giliran M’sia minggu depan

BMW iX3 serba baharu (NA5) akan dilancarkan di Malaysia pada minggu hadapan, tetapi Indonesia terlebih dahulu menerimanya menerusi acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang sedang berlangsung.

Dilancarkan dengan harga atas jalan 2.269 bilion rupiah (sekitar RM512k), iX3 ditawarkan dengan varian tunggal untuk pasaran negara jiran kita itu iaitu 50 xDrive. Ia menampilkan dwi-motor dengan penjana kuasa elektrik pacuan semua-roda dengan output 469 PS (463 hp atay 345 kW) dan tork 645 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 lm/j dalam 4.9 saat dan kelajuan tertinggi mampu dicapai pada 210 km/j.

Motor elektrik terbabit dikuasakan oleh bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti 108.7 kWh yang mampu memberikannya jarak gerak hingga 805 km mengikut standard WLTP. Bagi pengecasannya, seni bina elektrik 800 volt boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC pada kadar 400 kW dengan tahap 10-80% dalam masa 21 minit.

BMW iX3 di Indonesia turut menerima pengecas AC terbina dalam yang telah dinaik taraf, dengan keupayaan mengecas sehingga 22 kW berbanding 11 kW pada pengecas standard. Ia juga menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L), Vehicle-to-Home (V2H) dan Vehicle-to-Grid (V2G).

Dari segi kelengkapan, iX3 hadir dengan lampu utama LED adaptif bersama bantuan lampu suluh tinggi, Driving Assistant Plus (termasuk sistem brek kecemasan automatik atau AEB serta pelbagai fungsi ADAS Tahap 2), Parking Assistant Plus, sistem pemantauan tekanan tayar, gril ‘kidney’ Iconic Glow, pakej M Sport dengan angkup brek berwarna biru gelap metalik, serta rim aloi ringan M 21-inci berjejari-bintang gaya 1050 M dua tona.

Bahagian kabin pula dilengkapi kemasan kulit Veganza, bumbung panoramik, pencahayaan ambien, tempat duduk berkuasa elektrik, pintu but berkuasa elektrik dan sistem penyaman udara automatik.

Dari segi paparan, tarikan utama ialah sistem BMW Panoramic iDrive dengan Panoramic Vision Display yang merentasi dari satu tiang-A ke tiang-A yang lain. Ia dilengkapi skrin sentuh 17.9-inci yang menggunakan Operating System X, serta paparan utama 3D. Selain itu, BMW ConnectedDrive, sistem audio Harman Kardon, sistem telematik kenderaan dan pad pengecasan tanpa wayar turut disediakan sebagai kelengkapan standard.