Mercedes-Benz G-Class Cabriolet – teaser tunjuk AMG G63 W465 dengan bumbung fabrik terbuka

Mercedes-Benz sekali lagi memberi tanda kemunculan G-Class Cabriolet menerusi teaser terbarunya, yang menampilkan versi AMG G63. Ini juga merupakan kali pertama varian prestasi tinggi itu diperlihatkan dengan bumbung kain (soft-top), sebelum pengenalan rasmi dibuat.

Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, G-Class Cabriolet generasi baru bakal menjadi model produksi pertama yang ditawarkan dalam konfigurasi empat pintu, memandangkan semua G-Class Cabriolet terdahulu berasaskan casis W460, W461 dan W463 hanya ditawarkan dalam versi dua pintu. Satu-satunya pengecualian ialah Mercedes-Maybach G650 Landaulet yang dihasilkan dalam jumlah amat terhad, iaitu hanya 99 unit.

Berdasarkan imej teaser yang dikongsi, apabila bumbung dilipat sepenuhnya, jelas terlihat satu palang melintang besar di belakang tempat duduk. Komponen itu berfungsi sebagai struktur pengukuh bagi memastikan ketegaran badan serta memberikan perlindungan sekiranya kenderaan terbalik, memandangkan bumbung keras asal telah digantikan dengan bumbung fabrik.

Tidak seperti G650 Landaulet yang hanya mempunyai bumbung boleh lipat untuk penumpang belakang, G-Class Cabriolet baru ini menggunakan bumbung fabrik yang meliputi keseluruhan ruang kabin hingga ke cermin hadapan.

Menariknya, bahagian hadapan bumbung juga kelihatan lebih besar berbanding model terdahulu, sekaligus memberi bayangan bahawa mekanisme buka dan tutup bumbung mungkin beroperasi secara automatik sepenuhnya tanpa perlu membuka kunci bumbung secara manual terlebih dahulu.

Di bahagian belakang, tayar simpanan masih dipasang pada pintu but belakang, namun kini menggunakan lengan ayun khas yang membolehkannya bergerak secara berasingan. Pintu belakang pula masih mengekalkan bukaan sisi seperti G-Class standard, berbeza dengan model Cabriolet terdahulu yang menggunakan pintu jenis lipat ke bawah. Lampu brek ketiga juga kini dipasang pada penutup tayar simpanan, menggantikan rekaan lama yang kelihatan agak janggal.

Mercedes-Benz G-Class Cabriolet – teaser tunjuk AMG G63 W465 dengan bumbung fabrik terbuka

Video teaser turut memperlihatkan proses membuka dan menutup bumbung. Seperti G650 Landaulet, model ini nampaknya tidak menggunakan tingkap sisi tetap yang terletak pada bumbung fabrik. Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada cermin belakang diperbuat daripada kaca lengkap dengan fungsi anti kabus, atau masih menggunakan panel plastik lutsinar seperti model Cabriolet terdahulu.

Dari aspek penggerak, G-Class Cabriolet dijangka menggunakan pilihan enjin yang sama seperti versi bumbung biasa. Ini termasuk G500 dengan enjin enam silinder sebaris turbo 3.0 liter bersama sistem hibrid ringkas yang menghasilkan 449 PS dan 560 Nm, G450d dengan enjin diesel yang menjana 367 PS serta 750 Nm, dan AMG G63 yang menggunakan enjin V8 4.0 liter biturbo bersama sistem hibrid ringkas dengan kuasa 585 PS dan 850 Nm.

Turut dijangka ditawarkan ialah G580 with EQ Technology, versi elektrik sepenuhnya yang menggunakan empat motor elektrik dengan kuasa keseluruhan 587 PS dan 1,165 Nm. Namun begitu, varian ini dijangka kurang sesuai dipadankan dengan konfigurasi Cabriolet memandangkan aerodinamik bumbung lembut yang kurang efisien berkemungkinan memberi kesan ketara terhadap jarak pemanduan.