BMW i3 40 xDrive 2026 – varian lebih murah dengan kuasa 374 PS, bateri 82.8 kWh, jarak WLTP 710 km

BMW i3 kini mendapat varian baru yang lebih rendah spesifikasinya, iaitu i3 40 xDrive, yang menyertai i3 50 xDrive diperkenalkan ketika sedan elektrik itu dilancarkan pada Mac lalu. Diperkenalkan bersama BMW 3 Series generasi kelapan dengan enjin pembakaran dalaman, model baru ini masih menggunakan sistem pacuan semua roda dengan dua motor elektrik, tetapi menawarkan kuasa dan jarak perjalanan yang lebih rendah pada harga permulaan yang lebih murah.

Motor elektrik di bahagian hadapan masih menghasilkan 167 PS (123 kW) dan 255 Nm seperti pada i3 50 xDrive, namun motor belakang lebih rendah outputnya dengan 265 PS (195 kW) dan 345 Nm. Ini menjadikan penghantaran tork kurang berat ke roda belakang. Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan 374 PS (275 kW) dan 520 Nm, iaitu 95 PS (70 kW) dan 125 Nm kurang berbanding varian tertinggi. Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 5.4 saat, atau 0.7 saat lebih perlahan.

Kapasiti bateri juga lebih kecil, dengan 82.8 kWh boleh guna berbanding 108.7 kWh pada i3 50 xDrive. Susulan itu, jarak perjalanan maksimum berkurang kira-kira 200 km kepada 710 km mengikut kitaran WLTP. Bagaimanapun, sistem elektrik 800 volt masih dikekalkan, membolehkan pengecasan pantas DC sehingga 300 kW. Dengan kapasiti bateri yang lebih kecil, masa pengecasan 10 hingga 80% masih sama, iaitu sekitar 21 minit.

Kelebihan utama i3 40 xDrive sebenarnya terletak pada pengecasan AC. Dengan pengecas onboard 22 kW sebagai pilihan, masa untuk mengecas bateri sehingga penuh dapat dipendekkan sebanyak satu jam 15 minit, kepada hanya empat jam 15 minit. Selain itu, berat kereta turut dikurangkan sekitar 100 kg kepada 2,090 kg. Sistem brek belakang juga berubah, dengan cakera brek berliang digantikan kepada cakera jenis solid.

Selain perubahan tersebut, i3 40 xDrive pada asasnya masih menawarkan pakej yang sama seperti model lain dalam keluarga i3. Ia mengekalkan reka bentuk Neue Klasse, selain konsep paparan Panoramic iDrive dengan skrin infotainmen 17.9 inci dan paparan Panoramic Vision yang dipancarkan merentasi lebar papan pemuka. Kapasiti ruang kargo pula kekal pada 420 liter, bersama ruang simpanan hadapan berkapasiti 31 liter.

Keseluruhan rangkaian BMW i3 kini akhirnya boleh ditempah di pasaran Eropah, dengan harga bagi i3 40 xDrive bermula daripada 59,900 euro, bersamaan kira-kira RM277,400. Varian baru ini memberikan pilihan kepada pembeli yang mahukan sedan elektrik dengan pacuan semua roda dan prestasi tinggi, tetapi tidak memerlukan kuasa serta kapasiti bateri sebesar i3 50 xDrive.