BMW 3 Series G50 2027 serba baru akan diperkenal 30 Sept – M350 xDrive guna enjin enam silinder 3.0T 443 PS

BMW bakal mendedahkan 3 Series generasi kelapan (G50) pada 30 September 2026, selepas tarikh tersebut diumumkan menerusi video teaser yang dimuat naik oleh pengeluar kereta Jerman itu di saluran YouTube rasminya. Video berkenaan turut menunjukkan model sedan utama BMW itu sedang menjalani sesi ujian sebelum diperkenalkan secara rasmi.

Bagaimanapun, rupa sebenar 3 Series baru ini bukan lagi satu rahsia selepas beberapa gambar tanpa sebarang penyamaran didedahkan oleh seorang pengguna Reddit pada awal bulan ini. Seperti yang dijangka, reka bentuknya banyak mengambil inspirasi daripada model elektrik sepenuhnya NA0 i3 yang diperkenalkan kepada umum pada Mac lalu.

Model yang berjaya dirakam itu dipercayai merupakan varian paling berkuasa, M350 xDrive, iaitu model M Performance yang akan menggantikan G20 M340i xDrive. BMW sebelum ini sudah mendedahkan beberapa maklumat awal mengenai varian tersebut, termasuk penggunaan enjin petrol enam silinder sebaris 3.0 liter turbo yang menghasilkan 443 PS (437 hp atau 326 kW) dan tork 580 Nm.

BMW 3 Series G50 2027 serba baru akan diperkenal 30 Sept – M350 xDrive guna enjin enam silinder 3.0T 443 PS

Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 56 PS (55 hp atau 41 kW) serta tambahan 80 Nm berbanding G20 M340i xDrive. BMW turut mendakwa M350 xDrive mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.1 saat, iaitu 0.3 saat lebih pantas berbanding M340i xDrive, manakala kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j.

Enjin B58 yang dinaik taraf itu dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda (AWD). BMW turut memperkenalkan fungsi Drift Moment, iaitu mod pemanduan yang membolehkan keseluruhan kuasa enjin dihantar ke roda belakang untuk menghasilkan karakter pemanduan lebih menyeronokkan, sama seperti pendekatan yang digunakan pada model M berprestasi tinggi.

Selain itu, M350 xDrive akan dilengkapi suspensi adaptif M, differential M Sport dan sistem stereng sport dengan nisbah berubah sebagai kelengkapan standard. Bagaimanapun, butiran penuh mengenai 3 Series generasi baru ini hanya akan diketahui apabila BMW membuat pendedahan rasminya pada penghujung minggu ini.