Hyundai Tucson 2027 didedah sepenuhnya – pilihan hibrid, petrol dan PHEV 292 PS, sistem Pleos Connect

Hyundai kini mendedahkan sepenuhnya Tucson generasi kelima yang pertama kali diperlihatkan pada Ogos lalu. Model baru ini akan mula dijual di Korea Selatan pada penghujung tahun ini sebelum diperkenalkan ke pasaran lain pada 2027, dengan reka bentuk lebih berani serta pilihan rangkaian kuasa yang dikemas kini.

Sebanyak empat pilihan enjin ditawarkan, termasuk enjin petrol 2.0 liter MPI yang menghasilkan 150 PS dan 192 Nm serta 1.6 liter T-GDI turbo dengan 193 PS dan 265 Nm. Enjin 2.5 liter NA GDI kini sudah tiada lagi. Di Eropah, enjin turbo menghasilkan 150 PS dan 250 Nm serta dilengkapi sistem hibrid ringkas 48 volt.

Enjin 2.0 liter boleh dipadankan dengan transmisi manual atau automatik enam kelajuan, manakala enjin 1.6 liter turbo ditawarkan dengan pilihan manual, DCT tujuh kelajuan atau automatik lapan kelajuan bergantung kepada pasaran. Kedua-dua enjin turut menggunakan pam air elektrik bersepadu bagi mengurangkan berat dan mengekalkan kecekapan sistem.

Hyundai Tucson 2027 didedah sepenuhnya – pilihan hibrid, petrol dan PHEV 292 PS, sistem Pleos Connect

Versi hibrid menggabungkan enjin 1.6 liter turbo dengan starter generator P1 18 PS, motor P2 65 PS dan transmisi automatik enam kelajuan. Jumlah output mencecah 245 PS dan 380 Nm, dengan pilihan pacuan roda hadapan atau semua roda. Versi FWD boleh memecut 0-100 km/j dalam 8.3 saat dengan penggunaan bahan api sehingga 17.4 km/l.

Perubahan terbesar hadir pada Tucson plug-in hybrid (PHEV) yang menerima motor P2 baru berkuasa 107 PS. Output keseluruhan meningkat kepada 292 PS dan 380 Nm, manakala sistem AWD menjadi kelengkapan standard. Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 7.9 saat.

Bateri 17.1 kWh membolehkan Hyundai menyasarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 81 km, kira-kira 20 km lebih jauh berbanding model terdahulu. Keupayaan pengecasan AC turut ditingkatkan kepada 7.2 kW bagi memendekkan masa pengecasan.

Hyundai Tucson 2027 didedah sepenuhnya – pilihan hibrid, petrol dan PHEV 292 PS, sistem Pleos Connect

Tucson baru terus ditawarkan dalam versi jarak roda pendek dan panjang, dengan kedua-duanya lebih besar daripada sebelumnya. Versi SWB berukuran 4,560 mm panjang dengan jarak roda 2,720 mm, manakala LWB berukuran 4,700 mm dan mempunyai jarak roda 2,785 mm. Bahagian julur hadapan turut dipanjangkan 20 mm bagi meningkatkan perlindungan pejalan kaki.

Struktur badan diperkukuh melalui penggunaan lebih banyak keluli hot-stamp, tiang B yang diperkuatkan serta sistem pengurusan tenaga hentaman berbilang titik. Hyundai turut menambah baik penebat bunyi, pengedapan dan aspek aerodinamik bagi meningkatkan keselesaan serta mengurangkan bunyi dalam kabin.

Dari segi reka bentuk, Tucson kini menggunakan bahasa Art of Steel yang turut diperkenalkan pada Ioniq 3. Penampilannya lebih tegap dan berstruktur dengan fender mengembang, garis badan tajam serta identiti lampu berbentuk H di hadapan dan belakang yang merentangi keseluruhan lebar kenderaan.

Hyundai Tucson 2027 didedah sepenuhnya – pilihan hibrid, petrol dan PHEV 292 PS, sistem Pleos Connect

Lampu utama masih disembunyikan pada bahagian bampar, tetapi kini boleh dilengkapi teknologi Micro Pixel Light dengan 25,600 LED untuk kawalan pancaran lebih tepat. Lampu belakang pula menggunakan struktur prisma yang menghasilkan corak unik apabila dinyalakan, manakala pilihan rim tersedia dari 17 hingga 20 inci.

Kabin mengekalkan konsep berlapis dengan papan pemuka yang kelihatan terapung serta skrin infotainmen bersaiz 12.9 atau 17 inci. Sistem Pleos Connect berasaskan Android Automotive membolehkan aplikasi pihak ketiga digunakan secara terus, selain menyokong Apple CarPlay, Android Auto, kawalan gerakan tiga jari dan fungsi suara Gleo Agentic AI.

Hyundai turut mengembalikan kawalan fizikal untuk pendingin hawa, kelantangan audio dan penala. Stereng dengan bahagian atas dan bawah rata pula memberikan pandangan lebih jelas kepada paparan instrumen 9.9 inci, sementara ruang penyimpanan tambahan serta pengecas tanpa wayar Qi2 15 watt turut disediakan.

Tempat duduk hadapan menawarkan fungsi Relaxation, manakala pilihan Ergo Motion Seat menambah fungsi urutan tujuh titik. Sistem audio Bang & Olufsen dengan 12 pembesar suara turut tersedia, sementara pendingin hawa automatik tiga zon boleh mengalirkan udara secara tidak langsung untuk meningkatkan keselesaan.

Dimensi lebih besar memberikan ruang dalaman yang lebih luas, dengan ruang kepala penumpang belakang bertambah 29 mm. Pintu belakang kini boleh dibuka sehingga 83 darjah untuk memudahkan keluar masuk, manakala kapasiti bagasi ialah 691 liter bagi SWB dan sehingga 1,067 liter bagi LWB.

Dari segi keselamatan, Tucson menawarkan sehingga sembilan beg udara serta fungsi pemanduan separa autonomous Tahap 2. Cruise control adaptif kini menggunakan data navigasi untuk memperlahankan kenderaan sebelum selekoh, manakala sistem bantuan mengundur dan fungsi ketelusan kamera 360 darjah turut disediakan.

Hyundai Tucson 2027 didedah sepenuhnya – pilihan hibrid, petrol dan PHEV 292 PS, sistem Pleos Connect

Hyundai juga meneruskan pakej XRT dengan penampilan lebih lasak, termasuk bampar khusus, jeriji lebih besar, skid plate, kemasan gerbang roda hitam dan beberapa perubahan pada kabin. XRT Pro pula diperkenalkan sebagai versi lebih ekstrem dengan AWD, tayar semua permukaan, cangkuk tunda hadapan serta kelegaan tanah yang ditambah 30 mm kepada 210 mm.

XRT Pro turut dilengkapi Smart Terrain Assist yang menggunakan data gelinciran roda secara langsung untuk membantu mengenal pasti risiko kenderaan tersangkut, selain menyediakan offroad cruise control pada kelajuan rendah. Pada masa sama, Hyundai dijangka memperkenalkan varian Tucson yang lebih sporty dan berorientasikan jalan raya, dipercayai N Line, pada Paris Motor Show pada 12 Oktober.